Kerajaan kaji tindakan ke atas golongan antivaksin

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR 4 Jun – Kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di negara ini jika golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mengkaji pelaksanaan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti kelompok.

“Kalau ikut perancangan kita, saya harap kita dapat percepat vaksinasi, yang penting jangan ada orang berkata jangan vaksin.

“Kita tidak mahu separuh daripada orang kita sudah dapat suntikan manakala sebahagian lagi tidak dapat, kerana ini akan membawa kesan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang turut disertai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, setakat ini hampir 13 juta orang telah mendaftar dan angka itu hanya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan yang sepatutnya berdaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepat program imunisasi COVID-19 dalam misinya mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada yang disasarkan, antaranya dengan menambah bilangan PPV, baik di bandar ataupun luar bandar.

“Kita juga minta supaya klinik-klinik swasta untuk bersedia bagi membantu kerajaan. Ada 8,000 klinik swasta di seluruh negara. Jadi, jika semua masuk dalam jadual kita, lebih banyak (orang) yang kita akan dapat (berikan vaksin),” katanya.

Selain itu, beliau berkata setakat ini tidak timbul isu ketiadaan stok vaksin di dalam negara memandangkan lebih 100 peratus daripada jumlah yang dirancang pada tahun lalu telah tiba di negara ini, dan jumlah itu dijangka terus bertambah dalam proses mempercepat pemvaksinan penduduk.

Terdahulu, Perdana Menteri dibawa meninjau operasi di PPV MITEC yang mula beroperasi pada 31 Mei lalu dan akan memulakan operasi pada skala besar dengan kapasiti hingga 8,000 penerima vaksin sehari bermula 7 Jun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post Harimau Malaya gagal tebus maruah, tewas 0-4 kepada UAE
Next post Pengusaha pusat urut dikompaun RM10,000 beroperasi ketika PKP 3.0
Ubah saiz-+=