Kerajaan laksana undi 18 dalam tempoh terdekat

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 29 April. – Kerajaan hari ini menegaskan bahawa kelayakan mengundi umur 18 tahun akan diusahakan agar dapat dilaksana dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata komitmen terhadap perkara itu dibincangkan serta disahkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam.

Katanya ketetapan itu jelas menunjukkan kerajaan beriltizam memberi peluang kepada golongan muda berumur 18 tahun menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15, mahupun dalam mana-mana pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Gambar fail

“Kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur kelayaan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.

“Susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin berkata kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian prosedur operasi standard selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan COVID-19 di negara ini.

Pada 25 Mac lalu, SPR mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksana selepas 1 September tahun depan, berikutan pelbagai kekangan dihadapi suruhanjaya itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 ketika ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1501
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak perempuan tiga tahun maut ditinggal dalam kereta
Next post Hanya 36 jenis bunga api dibenarkan dijual secara umum sempena Aidilfitri
Ubah saiz-+=