Kerajaan lulus pelaburan pengilangan sel solar bernilai RM42.2 bilion

0
205
MUHIDDIN ketika mesyuarat secara maya bersama pengerusi dan presiden Risen Energy, Xie Jian. Foto FB- PM Muhyiddin

 

KUALA LUMPUR 24 Jun – Kerajaan telah meluluskan lesen pengilang dan galakan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel solar dan modul solar di Malaysia bagi syarikat Risen Energy Co. Ltd dengan jumlah pelaburan RM42.2 bilion.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaburan yang dibuat melalui Risen Solar Technology Sdn Bhd untuk tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025 itu dijangka menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

 

“Selain itu, syarikat tersebut juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara internship (latihan amali),” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat secara maya bersama pengerusi dan presiden Risen Energy, Xie Jian yang turut disertai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata kehadiran Risen Solar dalam industri ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar.

Menurutnya, ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power yang sedang beroperasi di Malaysia.

“Pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara, yang pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.