Kerajaan negeri baiki balai nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Julai – Peruntukan RM25,000 akan digunakan bagi menjalankan kerja pembaikan Balai Nelayan Kampung Pantai Rombang di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini yang rosak dipukul ribut awal pagi semalam.

EXCO Pertanian, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, beliau akan mendapatkan peruntukan itu daripada Tabung Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Kerajaan negeri amat prihatin terhadap nasib sembilan nelayan yang memiliki Lesen Menangkap Ikan Jabatan Perikanan negeri yang ditimpa nasib malang itu.

“Keseluruhan bumbung balai nelayan yang melindungi perahu gentian kaca dan peralatan menangkap ikan seperti jaring dan rawai musnah akibat dipukul ribut dan kita akan mengambil langkah membantu mereka,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, sembilan nelayan terbabit adalah sebahagian daripada 33 nelayan yang menggunakan balai berkenaan sejak ia dibina LKIM kira-kira lapan tahun lalu.

Nelayan, Mohd Said Baba, 53, mengangkat bumbung Balai Nelayan Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling yang diterbangkan ribut awal pagi semalam. – Foto DIN AHMAD

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, secara keseluruannya, balai berkenaan masih kukuh walaupun ada beberapa bahagian tertentu seperti bumbung zink yang sudah berkarat.

Sementara itu, Ketua Jaringan Nelayan Pantai Puteri, Azmi Leman, 53, berkata nelayan bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan negeri serta LKIM kerana mengambil tindakan segera.

“Alhamdulillah, balai itu penting untuk nelayan menyimpan peralatan menangkap ikan dan perahu, selain menyirat atau menjahit jaring yang koyak dan mengarau (menyusun) rawai,” katanya.

Dalam kejadian jam 3 pagi semalam, sebahagian daripada keseluruhan bumbung balai itu diterbangkan angin kencang yang turun bersama hujan lebat mulai jam 2.30 pagi.
 

Views:

724
Kongsi :
Previous post PdPR: Penambahbaikan, strategi berkesan untuk kurangkan tekanan
Next post (KEMAS KINI) COVID-19: Kilang telur di Durian Tunggal ditutup dua minggu
Ubah saiz-+=