Kerajaan Negeri prihatin pembangunan Islam

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PAYA RUMPUT 30 Disember – Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan menyokong program pembangunan Islam serta kebajikan rakyat khususnya membabitkan golongan mualaf.

Keprihatinan itu diterjemahkan menerusi penganjuran Majlis Perkahwinan Dan Walimatulurus Mualaf Negeri Melaka yang dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, majlis perkahwinan dan walimatulurus saudara baharu secara berkelompok itu adalah inisiatif diambil Kerajaan Negeri bagi membantu pasangan mualaf.

“Menerusi penganjuran ini pasangan pengantin boleh menjimatkan kos perbelanjaan disamping dapat membantu menguruskan penyediaan perkahwinan memandangkan mereka ini mungkin tiada saudara-mara untuk membantu.

“Justeru itu menerusi insiatif ini ia membuktikan betapa Kerajaan Negeri amat prihatin dan sentiasa menyokong pelaksanaan pelbagai program pembangunan Islam dan kebajikan rakyat membabitkan mualaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perkahwinan Dan Walimatulurus Mualaf Negeri Melaka Siri 3 Bersempena Karnival Islamik Antarabangsa Melaka (KIAM ’23) di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim.

Ab Rauf berkata, beliau amat teruja apabila melihat peningkatan jumlah pasangan mualaf yang diraikan dari semasa ke semasa menerusi majlis yang dianjurkan.

“Ini menunjukkan bahawa usaha dakwah penyebaran agama Islam di Melaka semakin meningkat dan akan terus diperkasakan oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Justeru itu, besar harapan saya agar majlis seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha kita memperkasakan semangat muhibah, perpaduan dan persaudaraan terutamanya untuk golongan saudara baharu,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 19 pasangan pengantin diraikan dan diarak dengan paluan kompang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1208
Kongsi :
Previous post Proton X70 buat pengunjung bertuah pada malam pelancaran TMM2024
Next post Keprihatinan Kerajaan Negeri mudahkan urusan pengantin
Ubah saiz-+=