Keprihatinan Kerajaan Negeri mudahkan urusan pengantin

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PAYA RUMPUT 30 Disember – “Terima kasih Kerajaan Negeri Melaka, atas inisiatif meraikan pasangan pengantin baharu,” kata Nurul Nadiah Ismanwandy, 29.

Nurul Nadiah dan suami Muhammad Syazwan Abdullah, 29, antara 19 pasangan pengantin baharu yang diraikan pada Majlis Perkahwinan dan Walimatulurus Mualaf Negeri Melaka Siri 3 Bersempena Karnival Islamik Antarabangsa Melaka Tahun 2023 (KIAM ’23), di sini, hari ini.

Menurut Nadiah, dia dan suami bernikah pada 1 Disember lalu sebelum dihubungi pegawai Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memaklumkan mengenai penganjuran majlis persandingan itu.

“Dengan adanya program ini ia sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan kami dan dapat mengeratkan ukhwah antara pasangan yang lain,” katanya yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kemalangan ketika berusia 16 tahun.

Menurutnya, dia mengenali suaminya yang berketurunan Iban menerusi seorang rakan sebelum menjalinkan hubungan serius dan memutuskan untuk berkahwin.

“Sebelum ini kami pernah berkawan tetapi putus sekejap namun pada akhir Ogos lalu kami mula berhubung kembali dan saya tidak sangka ketika itu dia sudah membuat keputusan untuk memeluk Islam.

“Mungkin disebabkan keadaan fizikal masing-masing yang kekurangan, kami saling memahami antara satu sama lain, selain saya lihat suami amat ikhlas menerima diri ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Syazwan Abdullah, 29, pula berkata, dia tidak menyangka perkenalkan yang bermula menerusi seorang rakan akan berakhir ke jinjang pelamin.

“Semasa awal perkenalan saya menyangka dia lebih berusia dan memanggilnya kakak, tidak sangka pula kami sebaya selepas diberitahu.

“Saya harap perkahwinan yang dibina ini akan berkekalan selain turut berharap akan ada rezeki buat kami kerana masing-masing kini sedang mencari pekerjaan,” katanya yang kudung tangan kanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1567
Kongsi :
Previous post Kerajaan Negeri prihatin pembangunan Islam
Next post Bimbingan khas diberikan kepada saudara baharu
Ubah saiz-+=