Kerajaan terus lindungi rakyat, kekalkan subsidi walaupun harga minyak meningkat – Johan

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kerajaan terus melindungi rakyat daripada mengalami kesan inflasi yang mendadak dengan meneruskan pemberian subsidi semasa walaupun harga minyak global meningkat ekoran pergolakan antara negara Rusia dan Ukraine.

Pengarah Belanjawan Negara Datuk Johan Mahmood Merican berkata ini adalah komitmen kerajaan yang turut mengambil kira keadaan ekonomi negara yang masih di peringkat awal pemulihan pasca COVID-19.

“Kerajaan mengekalkan dasar subsidi semasa untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga barangan dan gangguan kepada rantaian bekalan makanan, walaupun kos kepada subsidi itu meningkat secara mendadak,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Ruang Bicara di Bernama TV bertajuk ‘Jamin Kerja & Semarak Niaga Untuk Keluarga Malaysia’ yang ke udara malam tadi.

Katanya kesan pergolakan antara kedua-dua negara tersebut telah mengakibatkan kenaikan harga minyak melebihi US$100 setong, sedangkan Bajet 2022 yang disediakan kerajaan adalah atas unjuran atau andaian harga minyak sebanyak US$67 setong.

Jelas beliau, rakyat pada ketika ini masih dapat menikmati harga minyak RON95 pada kadar RM2.05 seliter, iaitu antara yang termurah, jika dibandingkan dengan negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, termasuk negara jiran yang perlu membayar lebih kurang dua kali ganda.

Harga tanpa subsidi kini sudah mencapai RM4.00 seliter, tambah beliau.

“Kenaikan harga minyak juga telah menyebabkan harga minyak sawit meningkat, namun kerajaan masih lagi menyediakan pek bersubsidi untuk satu kilogram pada harga RM2.50, sedangkan harga jika mengikut masa ini telah mencecah hampir RM10,” kata Johan.

Selain itu, Johan berkata kerajaan turut mengekalkan subsidi harga bagi ayam dan telur, dan ini melibatkan kos lebih RM500 juta untuk tempoh empat bulan bagi menstabilkan harga, sekali gus mengawal kadar inflasi.

Beliau pada masa sama berkata Malaysia mungkin tidak akan mengalami impak lain yang ketara terhadap pergolakan yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine kerana kedua-dua negara tersebut bukan rakan dagangan utama negara ini.

Sementara itu, Johan berkata kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan yang lebih baik dengan jangkaan 5.5-6.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta mewujudkan 600,000 pekerjaan melalui inisiatif Jamin Kerja tahun ini.

Ini berdasarkan matlamat yang berjaya dicapai pada tahun lepas iaitu 560,000 pekerjaan ketika negara masih mengalami peningkatan kes dan kematian yang tinggi akibat COVID-19.

Selain itu, data pengangguran yang telah menurun kepada 4.2 peratus pada Januari 2022 daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 juga merupakan indikator yang positif dan beliau berharap ia mampu kembali mencapai paras bawah empat peratus atau pekerjaan penuh.

Dalam pada itu, beliau mengulas program Short -Term Employment (MySTEP) yang menyediakan latihan dan penempatan di sektor awam dan swasta dapat memberi pengalaman pekerjaan yang bermakna dan meningkatkan kemahiran pekerja untuk mendapatkan pekerjaan yang seterusnya setelah tamat tempoh kontrak.

“Walaupun pekerjaan dalam program ini bersifat sementara atau kontrak, ini akan membolehkan graduan, lepasan sekolah dan golongan orang kurang upaya (OKU) mendapat gaji yang lebih tinggi dalam pekerjaan seterusnya kerana mereka telah mempunyai pengalaman dengan syarikat atau organisasi yang ternama,” jelas Johan.

Inisiatif program MySTEP sebanyak RM1.8 bilion ini menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak iaitu 50,000 di sektor awam dan 30,000 dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik.

Beliau turut menambah dengan fasa peralihan ke endemik pada 1 April kelak, semua sektor ekonomi termasuk pelancongan khususnya perniagaan mikro, kecil dan sederhana akan dapat melonjak dan memacu semula perniagaan mereka dengan bantuan yang telah diumumkan kerajaan termasuk pinjaman pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah sehingga kosong peratus. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1180
Kongsi :
Previous post Bekas penyerang Melaka, Azizan Baba meninggal dunia
Next post Negara rekod trend penuruan kes COVID-19 – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=