Kerajaan tingkatkan pelaksanaan pelbagai strategi berkaitan ESG dalam Bajet 2023 – Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kerajaan kekal komited untuk mengutamakan program dan projek pembangunan yang memberi tumpuan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti yang digariskan dalam penyata pra-bajet 2023, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata keutamaan yang fokus ESG ini juga merupakan pendorong utama bagi Malaysia untuk beralih daripada fasa pemulihan semasa kepada pembaharuan jangka panjang seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Justeru, Bajet 2023 akan memberikan tumpuan yang lebih kepada pembangunan dan kesejahteraan holistik, dibantu oleh peluang pendapatan yang lebih baik untuk semua,” katanya dalam ucap tama pada pelancaran Pelan Tindakan dan Laporan Kelestarian 2021 Edotco di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan meningkatkan pelaksanaan pelbagai strategi dan langkah kemampanan di bawah Bajet 2022 yang akan menyokong aspirasi berasaskan ESG jangka panjang Malaysia.

Beliau menekankan bahawa transformasi berkekalan hanya boleh dicapai apabila seluruh negara – termasuk sektor awam dan swasta – bersatu di belakang visi kemampanan yang sama.

“Kita tidak lagi mampu mengabaikan isu-isu struktur utama yang diburukkan lagi oleh pandemik, dan banyak bencana negara berkaitan perubahan iklim yang telah melanda negara dan menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda yang tidak perlu, tahun demi tahun,” tambah beliau.

Mengenai kaitan antara kemampanan dan teknologi, Tengku Zafrul menyatakan bahawa sektor teknologi maklumat dan komunikasi bertanggungjawab untuk kira-kira tiga peratus hingga empat peratus daripada pelepasan karbon global.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia telah mempercepatkan agenda ketersambungannya, antaranya memastikan liputan 5G di 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang akhir 2024.

“Walau bagaimanapun, seperti jiran serantau kita, kita juga mesti sedar akan kesan alam sekitar yang lebih buruk daripada pembangunan digital yang tidak dikawal.

“Inovasi mesti terus berkembang untuk semua orang meraih faedahnya. Oleh itu, kita mesti melihat bagaimana kita boleh bekerjasama untuk merealisasikan manfaat bersama, tanpa memberi kesan buruk kepada alam sekitar,” tambahnya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

958
Kongsi :
Previous post Rakyat Malaysia Kalwant Singh jalani hukuman gantung pagi ini
Next post Massila kekalkan DNA UTeM sebagai universiti teknikal terbaik
Ubah saiz-+=