Sorting by

×

Massila kekalkan DNA UTeM sebagai universiti teknikal terbaik

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 Julai – “Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan hanya agenda selama 100 hari saya berkhidmat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), namun saya akan pastikan UTeM kekal sebagai universiti teknikal terbaik.

Itu visi Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin dalam melaksanakan janjinya untuk mengembalikan UTeM kepada DNA asalnya sebagai sebuah universiti teknikal pertama ditubuhkan di Malaysia.

“Seperti selalu kami nyatakan, kami adalah universiti awam dan akan terus mempromosikan kepada rakyat Malaysia untuk masuk ke UTeM bagi mempelopori bidang teknikal.

“Bukti teknikal dan vokasional education (pendidikan) ini bukan sahaja di level (tahap) pelajar tetapi juga untuk menambah kemahiran rakyat dan individu yang memerlukan latihan.

“TVET salah satu agenda utama saya dan aspirasi saya bukan hanya untuk 100 hari tapi sepanjang tempoh pentadbiran saya yang mana kita nak memperkenalkan UTeM sebagai universiti teknikal yang terbaik di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis 100 Hari Menjajar Universiti Melonjak ke Hadapan di Dewan Canselor UTeM di sini, hari ini.

Terdahulu Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Canselor UTeM turut hadir bagi melakukan gimik Pelancaran Produk Penyelidikan UTeM.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Dr Hasim Hasan; Pro Canselor UTeM, Datuk Dr Sabirin Ja’afar dan lain-lain pengurusan tertinggi UTeM.

Dalam pada itu, Massila berkata pihaknya akan menubuhkan sebuah pusat kerjasama Research, Innovation, Commercialization & Entrepreneurship (RICE) dengan Kerajaan Negeri Melaka selain kerjasama pelbagai pihak.

“Beberapa projek RICE juga sudah dibincangkan dengan pelbagai pihak, sebagai contoh projek kerjasama dalam penghasilan bateri untuk beca dan motosikal serta membran penapisan air dengan UMW.

“Penggunaan drone dengan anak syarikat Jepun, Terra Drone serta kerjasama dengan Plus Malaysia Berhad (PLUS) untuk menyelesaikan masalah kon amaran di lebuh raya.

“Justeru, saya memohon semua pihak terus membantu saya mencapai misi yang telah dirancangkan, sekiranya kita ikhlas maka insya-Allah banyak perkara akan dipermudahkan untuk kita sampai ke puncak,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1785
Kongsi :
Previous post Kerajaan tingkatkan pelaksanaan pelbagai strategi berkaitan ESG dalam Bajet 2023 – Tengku Zafrul
Next post Suami isteri ditemukan maut dipercayai dibunuh ahli keluarga
Ubah saiz-+=