
KERANI RUGI RM685,000 DITIPU SINDIKET PELABURAN DALAM TALIAN
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menerima laporan daripada wanita berusia 60 tahun itu semalam, memaklumkan dirinya ditipu sindiket berkenaan.
“Mangsa memberitahu telah melihat iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham melalui aplikasi Facebook pada Disember tahun lepas, yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh masa singkat.
“Mangsa yang berminat untuk melabur telah berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan mangsa kemudian dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp serta diberikan penerangan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata mangsa seterusnya diminta untuk memuat turun satu aplikasi dan mendaftarkan keahlian untuk melabur dalam pelaburan terbabit sebelum melakukan 19 transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza.
Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas diminta untuk membuat pembayaran sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan RM1.4 juta yang diperolehnya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.