MELAKA KENANG BAKTI PESARA PERKHIDMATAN AWAM

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 24 September – Seramai 41 pesara Perkhidmatan Awam Negeri Melaka menerima sumbangan berjumlah RM24,600, manakala lapan waris pegawai yang meninggal dunia ketika masih dalam perkhidmatan menerima RM2,800 sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan berkenaan merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap khidmat, pengorbanan dan kesetiaan yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Katanya, nilai sumbangan itu tidak mungkin dapat menggambarkan nilai sebenar khidmat yang dicurahkan pesara, terutama mereka yang telah berkhidmat selama puluhan tahun.

“Ada yang berkhidmat hampir empat dekad. Sudah berapa banyak kepimpinan yang datang dan pergi? Sudah berapa banyak dasar yang berubah? Sudah berapa banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi?

“Tidak ada angka yang mampu membayar puluhan tahun masa yang diberikan. Tidak ada nilai yang mampu menggantikan masa bersama keluarga yang pernah dikorbankan demi tugas.

“Sumbangan ini hanyalah tanda bahawa segala khidmat, pengorbanan dan kesetiaan tuan puan sentiasa kita hargai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azrem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; wakil pesara Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 Datuk Wira Azhar Arshad serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, persaraan bukanlah pengakhiran kepada sumbangan seseorang penjawat awam kerana pengalaman, ilmu dan jasa yang dicurahkan akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah perkhidmatan awam negeri.

“Persaraan bukanlah sebuah noktah. Yang berakhir hanyalah jawatan. Tetapi ilmu tidak bersara. Pengalaman tidak bersara. Kebijaksanaan tidak bersara dan bakti kepada masyarakat juga tidak semestinya berakhir apabila kita meninggalkan pejabat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

270
Kongsi :
Previous post RUNDINGAN KERJASAMA PRN MELAKA BELUM BERMULA – AB RAUF
Next post IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAKA CIPTA SEJARAH, JUARA DEBAT PIALA KETUA MENTERI