RUNDINGAN KERJASAMA PRN MELAKA BELUM BERMULA – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 24 September – Rundingan antara Barisan Nasional (BN) dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 belum bermula, kata Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri berkata, beliau akan memulakan rundingan sebaik menerima arahan dan panggilan daripada kepimpinan BN di peringkat tertinggi.

“Padi sudah masak, tempua bersarang rendah. Sudah pastinya akan ada rundingan yang akan berlaku selepas ini.

“Saya akan memaklumkan dan memberi perkembangan dari semasa ke semasa, namun setakat hari ini belum ada rundingan lagi.

“Rundingan akan bermula apabila saya menerima panggilan daripada PWTC (Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur), masanya mungkin esok, mungkin malam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azrem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; wakil pesara Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 Datuk Wira Azhar Arshad serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, sebarang rundingan kerjasama perlu dilaksanakan menerusi saluran rasmi bagi mengelakkan timbul pelbagai persepsi sekiranya perbincangan dibuat secara terbuka, khususnya menerusi media sosial.

“Saya memang tidak berminat kalau ada rundingan dalam platform media sosial kerana akan memberikan pelbagai persepsi yang negatif.

“Jadi biar kita runding dahulu dan apabila dapat kata sepakat, baru membawa berkat,” katanya.

Ab Rauf berkata, kedudukan 21 kerusi DUN yang dimenangi BN pada PRN Melaka 2021 kekal sebagai hak BN untuk dipertahankan, manakala kerusi lain boleh menjadi ruang untuk rundingan.

“Maksudnya hak kita adalah hak kita (21 kerusi), manakala yang lain boleh berunding,” katanya.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Sebelum ini, Ab Rauf turut menegaskan bahawa sebarang kerjasama politik perlu diputuskan melalui rundingan rasmi dan bukan berdasarkan spekulasi atau perbincangan di media sosial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post INTEGRITI, AMANAH JADI TERAS WARGA MAIM
Next post MELAKA KENANG BAKTI PESARA PERKHIDMATAN AWAM