“Kerbau pun tak lalu nak berkubang” – Penduduk

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

“JANGAN kata orang, kerbau pun tak nak mandi di sungai itu!”

Demikian reaksi seorang penduduk di Kampung Seri Mawar, bagi menggambarkan betapa kritikalnya masalah yang menyelubungi penduduk mengenai pencemaran bau dan air yang berlaku di kawasan itu.

Abu Bakar Mohamat, 69, juga pemilik kedai di kampung berkenaan berkata, situasi yang berlaku di kampung berkenaan jauh berbeza berbanding suasana ketika sejak mula menghuni kampung berkenaan pada 1973.

Jelasnya, ketika itu air sungai berkenaan begitu jernih dan boleh digunakan untuk tujuan mandi-manda dan kegunaan harian.

ABU Bakar

Namun, masalah mula timbul kira-kira 10 tahun lalu apabila sungai yang pada awalnya jernih mula bertukar hitam dan mengeluarkan bau yang sangat busuk.

“Macam bau tahi! Jangan kata orang, macam saya cakap kerbau saya sendiri tak nak mandi di sungai dan parit yang ada. Biasa binatang kalau nampak air parit, dia mahu berkubang, tapi di sini dia yang lari.

“Sebab dia tahu air itu berbau tahi. Kita yang duduk sini pun tak boleh tahan bau tersebut. Sekarang musim hujan, memang kurang sikitlah bau, cuba datang waktu musim panas, kamu pun tak boleh tahan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Nada sama turut diakui seorang lagi penduduk Taslim Selamat, 68 yang adakalanya hidup seakan di dalam penjara apabila terpaksa berkurung di dalam rumah kerana tidak tahan dengan bau busuk yang menusuk dari sungai yang terletak berhadapan rumahnya.

Justeru, beliau merayu masalah tersebut segera diselesaikan pihak berwajib untuk membolehkan kehidupan mereka kembali seperti biasa.

“Inilah sungai tempat saya mandi-manda, tangkap ikan sejak 37 tahun lalu. Sekarang sungai yang sama membuatkan kami terpaksa tutup pintu dan tingkap rumah kerana membawa bau busuk seakan bau najis.

“Nak cakap apa? Kita tak ada kuasa. Cuma yang boleh kita merayulah. Merayu agar isu ini boleh diselesaikan. Sementara hayat masih ada,” ujarnya.

MOHD Ali menunjukkan dua tona berbeza air sungai di kampung berkenaan. Air berwarna gelap dipercayai membawa sisa-sisa najis dari ladang ternakan berhampiran.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Redan Mohd Ali Janah Lahuri, 62 meminta agar isu berkenaan akan menemui titik noktah.

Ujarnya, beliau berharap segala usaha yang dilakukan wakil rakyat sekarang iaitu Datuk Rahmad Mariman untuk menyelesaikan masalah tersebut akan berakhir dengan baik dan menggembirakan semua penduduk di kawasan berkenaan.

“Melalui pertemuan demi pertemuan, saya harap ini pertemuan terakhirlah. Mudah-mudahan ada penyelesaian untuk kali ini.

“Saya berharap ada satu pembaharuan dari segi penguatkuasaan. Jika penguatkuasaan itu berjalan dengan baik saya yakin kampung ini boleh kembali damai seperti dahulu,” katanya.

Berita Berkaitan: Ternakan lembu jadi punca?

#melakahariini

Views:

932
Kongsi :
Previous post Ternakan lembu jadi punca?
Next post Harga roti Gardenia naik
Ubah saiz-+=