Ternakan lembu jadi punca?

Masa Membaca:2 Minit, 58 Saat

Oleh Mohamad Fazrul Abdul Majid & Faiz Hasan

AYER MOLEK – Derita 10 tahun pencemaran bau dan kualiti air di Sungai Punggur, Ayer Molek, dipercayai berpunca daripada ladang ternakan lembu di Serkam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, itu rumusan yang dapat disimpulkan hasil tinjauan dan siasatan yang telah dijalankan sejak beberapa bulan lalu bersama agensi terlibat.

Katanya, terdapat kira-kira tujuh ladang ternakan lembu tidak berlesen di kawasan berkenaan yang antaranya dipercayai melepaskan sisa najis haiwan ke parit yang mana seterusnya sisa itu disalur ke anak sungai dan seterusnya ke Sungai Punggur.

ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman

Hasil tindakan tidak bertanggungjawab itu, ujarnya, ia telah memberi kesan kepada ribuan penduduk bukan sahaja di Kampung Paya Redan dan Kampung Seri Mawar, bahkan turut meliputi kawasan Kampung Bukit Nibong, Kambung Tengah, Kampung Bukit Gadong, Kampung Balik Bukit, Kampung Tambak Bugis dan seterusnya ke kawasan laut di sekitar Alai.

“Bau busuk paling ketara boleh dihidu ketika musim panas atau kemarau yang mana kita boleh melihat air sungai bertukar hitam dan berkeping-keping dengan kerak, keladak dan lumpur. Antara punca pencemaran yang dikenal pasti hasil siasatan yang telah dijalankan ialah disebabkan ternakan lembu.

“Jadi, saya telah memeriksa kawasan tersebut dan boleh menyimpulkan terdapat kira-kira 1,000 ekor lembu diternak di Serkam iaitu di bawah daerah Jasin namun kita percaya mereka melepaskan sisa ke saliran awam hingga memasuki kawasan Melaka Tengah.

“Selain ternakan, kita juga percaya pencemaran turut disumbangkan sebuah kilang industri berdekatan. Namun, berdasarkan penilaian, kilang tersebut tidaklah menyumbang begitu banyak kepada isu tersebut mungkin sekitar 10-15 peratus dan kebanyakannya disebabkan oleh ladang ternakan.

“Untuk makluman, isu ini bukan isu baharu, ia sudah berlarutan sejak 10 tahun dan tidak dapat diselesaikan. Sebab itulah, saya berusaha untuk menyelesaikannya kali ini dan telah mengadakan mesyuarat kali pertama pada bulan lalu.

“Hasil mesyuarat itu kita mendapati masih ada beberapa isu lagi perlu diselesaikan kerana masalah yang terjadi ini tertakluk kepada enakmen dan undang-undang yang berbagai-bagai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Oleh sebab itu, menurutnya, perkara tersebut telah dibawa ke pengetahuan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dan melalui lawatannya ke kawasan berkenaan baru-baru ini, beliau meminta isu ini diselesaikan dengan kadar segera.

Rahmad berkata, beliau telah diminta untuk mengetuai jawatankuasa berkenaan dan akan menggerakkan jabatan dan agensi terlibat antaranya Badan Kawal Selia Air (BKSA), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Veterinar, Pejabat Tanah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui satu operasi bersepadu.

“Saya percaya dengan gembelengan segala usaha bersama jabatan dan agensi kita dapat menyelesaikan isu ini dengan segera dan boleh mengenakan apa jua tindakan kepada pengusaha yang tidak bertanggungjawab.

“Buat masa ini kita melihat tindakan yang paling berkesan boleh dikenakan ialah di bawah BKSA yang boleh mengenakan denda sehingga RM250,000 kepada pengusaha kerana melibatkan pencemaran dan selain itu tindakan juga boleh diambil Pejabat Tanah mengenai penyalahgunaan tanah,” katanya.

Bagaimanapun Rahmad menjelaskan, tindakan yang mahu diambil bukanlah mahu mendiskriminasikan penternak lembu di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri berkata, pihaknya menyedari kepentingan daging lembu sebagai sumber protein untuk rakyat apatah lagi sepanjang musim pandemik COVID-19 bekalan daging yang diimport berkurangan.

“Kita faham dari segi makanan memang amat diperlukan. Tapi jagalah sedikit sensitiviti masyarakat dan penduduk sekitar supaya tidak melakukan pencemaran. Itu yang paling penting.

“Jangan sampai orang kata, kita ambil untung, orang lain yang terpaksa menanggung akibatnya apabila kaedah penternakan yang sistematik dan betul tidak dilaksanakan,” katanya lagi.

Berita Berkaitan: “Kerbau pun tak lalu nak berkubang” – Penduduk

#melakahariini

Views:

1876
Kongsi :
Previous post Memperkasa Melaka sebagai hab pendidikan serantau
Next post “Kerbau pun tak lalu nak berkubang” – Penduduk
Ubah saiz-+=