Kereta api ekspres terbakar, 180 penumpang selamat

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KOTA BHARU, 2 Feb – Bahagian enjin sebuah kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas pada pukul 9.44 malam tadi.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Pasir Mas Shapawi Setapa berkata kejadian kebakaran berpunca daripada enjin di bahagian hadapan kereta api yang membawa 13 gerabak penumpang itu dan berjaya dipadamkan pada pukul 1.44 pagi tadi.

“Dua jentera dari balai bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah serta turut dibantu anggota bomba sukarela Rong Chenok dan anggota polis daripada Balai Polis Tok Uban melibatkan kira-kira 30 orang.

“Kesemua penumpang seramai 180 orang berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya.

Kereta api tersebut telah dibawa ke stesen Pasir Mas untuk tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Zain Mat Taha ketika dihubungi berkata perjalanan 180 penumpang Ekspres Rakyat Timuran No 27 itu tetap diteruskan, dengan perjalanan dari Stesen Tumpat ke Stesen Kempas Baru mengalami kelewatan kira-kira enam jam.

Beliau berkata kereta api dijangka sampai di stesen terakhir di Kempas Baru pada pukul 7 petang ini.

“Kami pihak KTMB memohon maaf kepada para penumpang atas kelewatan dan insiden yang berlaku ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Zain berkata insiden di Km 490.50-491.00 antara Pasir Mas dan Tanah Merah hanya membabitkan bahagian enjin lokomotif, tidak merebak ke gerabak penumpang, dan tidak mengakibatkan kehilangan nyawa atau sebarang kecederaan.

Katanya api dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah malam hasil tindakan pantas pasukan bomba dari Pasir Mas serta Tanah Merah dan semua gerabak yang terbakar telah ditarik dengan lokomotif bantuan ke Stesen Pasir Mas.

Punca dan jumlah kerugian sedang disiasat oleh pihak KTMB. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

978
Kongsi :
Previous post Insiden bot berlanggar: Kerajaan Terengganu mahu siasatan terperinci
Next post Polis Alor Gajah keluar 77 saman Tahun Baharu Cina
Ubah saiz-+=