Polis Alor Gajah keluar 77 saman Tahun Baharu Cina

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 2 Feb – Sebanyak 77 saman dikeluarkan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Alor Gajah dalam Op Selamat 17, malam semalam.

Operasi itu dijalankan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi memastikan pengguna jalan raya khususnya mematuhi peraturan jalan raya dan menjaga keselamatan sepanjang musim perayaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, operasi itu dilakukan di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Sungai Petai, bermula kira-kira jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu

“Sepanjang operasi dijalankan polis memeriksa seramai 85 individu dan 80 kenderaan, hasilnya 77 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan trafik.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi dan melakukan ubah suai tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, selain sekatan jalan raya (SJR), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) turut melaksanakan rondaan cegah jenayah dan lawatan ke kediaman yang ditinggalkan penghuni untuk pulang ke kampung.

BPJKK Alor Gajah turut melaksanakan rondaan cegah jenayah dan lawatan ke kediaman ditinggalkan penghuni rumah yang pulang ke kampung.

“Lawatan berkala ini dibuat oleh Unit MPV dan URB ke rumah yang dimaklumkan kepada pihak polis.

“Selain itu, pasukan polis bersama beberapa agensi lain turut melakukan pemantauan ke rumah ibadat bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, dalam meraikan sambutan Tahun Baru Cina masyarakat diingatkan agar tidak lupa dan sentiasa mematuhi SOP dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1035
Kongsi :
Previous post Kereta api ekspres terbakar, 180 penumpang selamat
Next post Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung berjaya dipadam sepenuhnya
Ubah saiz-+=