Kereta elektrik: Melaka pacu era baharu bidang teknologi – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PAYA RUMPUT 12 Jan – Pembinaan kilang pemasangan kereta elektrik pertama di Malaysia bakal membuka peluang buat Melaka menjadi destinasi terbaharu pelabur membabitkan bidang teknologi.

Exco Teknologi Datuk Rais Yasin berkata, kejayaan menarik pelabur dalam industri kereta elektrik itu merupakan satu kebanggaan kerana ia bakal menjadi pemindahan teknologi automotif terbesar dalam negara khususnya negeri Melaka.

Justeru, beliau percaya pemindahan teknologi dari China untuk menghasilkan kereta elektrik itu akan dimanfaat sepenuhnya di negeri ini.

“Pembinaan kilang pemasangan kereta elektrik ini merupakan satu perkara yang boleh dibanggakan oleh rakyat negeri ini kerana ia diyakini mampu menarik ramai pelabur terutama dalam bidang teknologi melabur ke negeri ini.

“Pembinaan kilang itu juga akan membantu aspek pemindahan teknologi (transfer technology) selain membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Sebelum ini, Melaka mengumumkan pelaburan bernilai RM1 bilion oleh Syarikat Fieldman EV Sdn Bhd (FEV) yang akan membangunkan kilang pemasangan kereta elektrik pertama negara.

Kilang itu akan dibangunkan di kawasan perindustrian Lipat Kajang di atas tapak seluas kira-kira 202 hektar (500 ekar) yang dijangka akan mula beroperasi suku ketiga tahun 2024.

Dalam pada itu, Rais yang juga Exco Pendidikan berkata, kerajaan negeri juga sedang dalam usaha membawa masuk pelaburan baharu berkaitan teknologi hijau sedikit masa lagi.

Katanya, ia akan membabitkan kerjasama dengan sebuah syarikat basikal dikenali sebagai Revo.

Bagaimanapun, menurutnya rancangan pelaburan bersama syarikat basikal elektrik itu masih di peringkat perbincangan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

691
Kongsi :
Previous post Kilang kereta elektrik pertama negara dijangka beroperasi 2024, berupaya hasil 7,000 unit EV setahun
Next post Thaipusam: Upacara Kavadi tidak dibenarkan
Ubah saiz-+=