Kerjasama PDRM-JAIM selesaikan 22 jenayah kes pecah tabung

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Strategi kerjasama antara Jabatan Agama Islam (JAIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi inisiatif program Satu Masjid Satu Polis menunjukkan perkembangan positif apabila menyelesaikan kes pecah tabung di masjid dengan jumlah kerugian RM14,325 sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, meskipun hanya 29 kes pecah tabung direkodkan pada tahun lalu, namun aktiviti itu menyumbang kepada 14 peratus bagi kategori curi dan pecah rumah atau premis dalam keseluruhan indeks jenayah negeri tahun lalu.

Katanya, 19 kes daripada keseluruhan kes pecah tabung yang direkodkan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, manakala lapan lagi disiasat di bawah Seksyen 457 akta sama iaitu pencerobohan dengan bersembunyi pada waktu malam.

Sharul Lalli (empat dari kanan hadapan) dan Md Azhan (empat dari kanan) bergambar bersama Jawatankuasa Kariah Masjid pada Taklimat Keselematan dan Perlaksanaan Inisiatif Satu Masjid Satu Polis di IPK Melaka, di sini hari ini.

“Manakala dua kes lagi disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atau 511 Kanun Keseksaan kerana curi dan memiliki barang curi.

“Bagaimanapun, bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, tiga kes pecah tabung direkodkan iaitu dua kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan manakala satu lagi disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Keselamatan dan Perlaksanaan Inisiatif Satu Masjid Satu Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin.

Dalam program itu, seramai 185 pegawai perhubungan masjid dalam kalangan pegawai dan anggota polis negeri ditempatkan di 185 masjid kariah di negeri ini.

Mengulas lanjut, Sharul Lalli berkata, susulan kes pecah tabung yang berjaya diselesaikan tahun lalu, pihaknya menahan 14 lelaki berusia 21 hingga 46 tahun sekali gus menyelesaikan 15 kes.

“Yang terkini, polis berjaya menumpaskan Geng Raj yang terdiri tiga suspek lelaki berusia antara 22 hingga 24 tahun dengan tangkapan yang dijalankan pada 1 Mac lalu.

“Dengan penahanan itu, JPJKK menyelesaikan tujuh kes pecah tabung dan tokong di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

839
Kongsi :
Previous post Penganggur mengaku tidak bersalah muat naik video burukkan imej polis
Next post Lima lelaki ditahan iring perarakan pengebumian rakan dengan mercun dan logo kongsi gelap
Ubah saiz-+=