Sorting by

×

KES KOMERSIAL CATAT KERUGIAN HAMPIR RM80 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 28 Januari – Kes yang melibatkan jenayah komersial di Negeri Melaka sepanjang tahun lalu merekodkan kerugian berjumlah hampir RM80 juta.

Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, kes penipuan menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah kerugian yang direkodkan pihaknya.

“Kerugian bagi kes komersial direkodkan bagi Januari hingga Disember 2024 adalah RM79,268,409.90 berbanding RM48,422,567.57 tahun sebelumnya. Kes penipuan menjadi penyumbang terbesar kerugian dengan jumlah RM73,365,740.42 atau bersamaan 64.5 peratus.

“Ia diikuti dengan kes pecah amanah jenayah yang merekodkan jumlah kerugian sejumlah RM4,993,976.54 bersamaan 17.5 peratus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka Tahun 2024 Dan Lafaz Ikrar Serta Perhimpunan Bulanan PDRM Melaka Bagi Bulan Januari 2025, di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, hari ini.

Menurut Md Nazri, sebanyak 1,179 tangkapan membabitkan kes komersial juga dibuat pihaknya sepanjang tahun lalu.

“Statistik jumlah tangkapan membabitkan kes jenayah komersial dalam tempoh sama juga menunjukkan peningkatan sebanyak 94.1 peratus dengan 1,179 tangkapan berbanding 1,110 pada tahun 2023,” katanya.

Jelasnya, unsur ugutan yang terdapat dalam modus operandi suspek ketika menjalankan jenayah itu menjadi antara punca mangsa terjebak seterusnya melakukan transaksi kewangan.

“Faktor menyebabkan mangsa boleh percaya adalah ayat yang digunakan suspek ini antaranya ada unsur ugutan yang menyebabkan mereka percaya ada terbabit dengan kesalahan yang dikatakan.

“Selain itu ada juga unsur pujuk rayu ketika suspek ini berkomunikasi dengan mangsa sehingga individu-individu ini terpedaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post POLIS MELAKA KOMITED JAGA KEAMANAN NEGERI
Next post PEKERJA WARGA MYAMMAR CEDERA TANGAN TERSEPIT MESIN