Kes langgar pelajar: Polis sedang lengkapkan siasatan, minta pihak ada bukti untuk tampil

Masa Membaca:57 Saat

IPOH, 17 Dis – Polis harap mana-mana individu yang mempunyai bukti seperti rakaman papan pemuka (dashcam) kenderaan atau kamera litar tertutup (CCTV), berhubung kes pelajar maut selepas dilanggar kenderaan yang disyaki dipandu seorang pegawai kanan polis Jumaat lepas, untuk tampil membantu siasatan.

“Kita masih menunggu.. yang ada dashcam, CCTV atau lain-lain, siapa yang ada itu (bahan bukti) kita akan terima. Setakat ini belum lagi,” kata Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata esok tempoh tahanan reman pegawai berkenaan akan tamat, namun beliau masih belum dapat mengesahkan sekiranya tempoh reman akan disambung atau sebaliknya.

“Biarkan polis siasat dengan telus dan adil seperti arahan KPN (Ketua Polis Negara), dan juga kita minta saksi-saksi di luar sana yang boleh membantu siasatan untuk tampil, hubungi polis atau pegawai penyiasat untuk beri keterangan,” katanya.

Dua hari lepas, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaikinya dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Meru dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1014
Kongsi :
Previous post Melaka mungkin kembali ke Liga Super
Next post TMM2024: Bulan pelancongan sukan ketengah sukan tradisional
Ubah saiz-+=