Kes positif COVID-19 di Melaka dijangka meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 5 Feb. – Kes positif COVID-19 dijangka akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari lagi berikutan masih banyak keputusan ujian saringan masih belum diterima.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, peningkatan itu diramal berlaku selepas saringan besar-besaran COVID-19 ke atas pekerja sektor industri dijalankan sejak awal tahun ini.

RAHMAD Mariman. Foto fail

Buat masa ini ujarnya, antara penyumbang terbesar kes di negeri ini membabitkan Kluster Industri Serkam yang sudah merekodkan keseluruhan 363 kes.

“Untuk hari ini sahaja, Kluster Industri Serkam merekodkan 95 kes positif yang mana ia merupakan penyumbang terbesar kes harian di Melaka.

“Walaupun semua 1,700 pekerja dan kontak rapat sudah disaring, namun masih banyak keputusan ujian saringan belum diterima dan sebab itulah kita masih belum boleh menjangkakan penurunan untuk beberapa hari mendatang,” katanya.

Rahmad berkata, selain Kluster Industri Serkam, terdapat tiga lagi kluster aktif mencatat pertambahan pesakit iaitu Kluster Telok Mas dan Kluster Tembok Sungai Udang, masing-masing satu kes dan Kluster Jalan Masjid Tanah, dua kes.

Selain itu, pertambahan kes positif hari ini turut disumbangkan oleh saringan kontak rapat kes positif, saringan bergejala, saringan ke luar negara, saringan kendiri dan saringan kerja.

“Keseluruhan 1,012 kes masih dirawat sehingga kini termasuk 11 daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya lagi.

Views:

664
Kongsi :
Previous post COVID-19: 13 anggota Balai Polis Lubok China diarah kuarantin
Next post Bukan hanya jaguh di trek, ‘Perkongsian Jumaat’ Azizulhasni menusuk jiwa
Ubah saiz-+=