Kes tipu tawaran kerja catat peningkatan 1,800 peratus, kerugian 1.2 juta

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 11 Jan- Kes penipuan tawaran kerja tidak wujud dan penipuan pelaburan tidak wujud mencecah kerugian RM7.7 juta pada tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata angka itu membabitkan 202 kes pada tahun lalu sementara kerugian dianggarkan bernilai RM2.94 juta pada tahun 2020 dengan 263 kes direkodkan.

“Mengikut pecahan kes, bagi kes penipuan tawaran kerja tidak wujud di negeri ini meningkat sehingga 1,800 peratus dengan nilai kerugian mencecah RM1.22 juta pada tahun lalu membabitkan 76 kes.

“Bagi tahun 2020, hanya empat kes direkodkan dengan anggaran kerugian RM79,700,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi kes penipuan pelaburan tidak wujud, jumlah kes menurun kepada 51.35 peratus.

Katanya, meskipun jumlah kes menurun namun nilai kerugian akibat jenayah itu merekodkan peningkatan 126.18 peratus.

“Nilai kerugian mencatatkan peningkatan sebanyak 126.18 peratus dengan jumlah kerugian direkodkan sebanyak RM6.48 juta pada tahun lalu berbanding RM2.86 juta pada tahun 2020.

“Kita percaya peningkatan ini berpunca kesan daripada ramai yang hilang pekerjaan akibat tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kebanyakan mangsa meluangkan masa mencari kerja melalui internet.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka terdedah kepada risiko menjadi mangsa penipuan tawaran kerja ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1114
Kongsi :
Previous post Malaysia tangga ke-13 dalam senarai Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei
Next post Wan Rosdy sifatkan setiausaha akhbarnya insan komited dan amanah
Ubah saiz-+=