Wan Rosdy sifatkan setiausaha akhbarnya insan komited dan amanah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan Allahyarham Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali, merupakan seorang insan yang komited dan amanah dalam menjalankan tugasnya sebagai setiausaha akhbar.

Wan Rosdy berkata Abdul Wahab merupakan figura penting yang membantu beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

“Jasa dan bakti beliau akan dikenang buat selama-lamanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, sambil mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Abdul Wahab, 61, meninggal dunia pada 5.42 petang tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, dipercayai akibat kanser darah.

Allahyarham yang dilahirkan pada 26 Feb 1961, difahamkan merupakan setiausaha akhbar paling lama pernah berkhidmat sejak tahun 1995, dan berkerja di bawah tiga Menteri Besar Pahang iaitu Tun Mohd Khalil Yaakob, Datuk Seri Adnan Yaakob dan terkini Wan Rosdy.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Berita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1 Sept 1984 di ibu pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke pejabat Biro Pahang sebagai pewarta negeri pada 1 Jan 1989 dan kemudiannya kembali ke ibu pejabat pada 1 Okt 1994 sebagai Penolong Editor Meja Berita.

Beliau mula dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang secara pinjaman pada 1 Julai 1995 hingga 31 Mei 2006 sebelum bersara pilihan daripada Bernama pada 1 Jun 2006 dan kemudiannya terus berkhidmat dengan Khalil sehingga tampuk kepimpinan negeri diambil alih oleh Adnan pada tahun 1999, sebelum bersama Wan Rosdy sejak 2018.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

571
Kongsi :
Previous post Kes tipu tawaran kerja catat peningkatan 1,800 peratus, kerugian 1.2 juta
Next post COVID: 219 positif, 16 kluster libatkan jemaah umrah
Ubah saiz-+=