Kesedaran rakyat Melaka berwakaf meningkat

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

BUKIT BARU 3 November – Kesedaran rakyat Melaka berhubung amalan sebagai pewakaf yang semakin meningkat, membantu Kerajaan Negeri untuk meningkatkan lagi tahap kualiti masyarakat Islam.

Sesuai dengan peningkatan kesedaran itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, mahu institusi wakaf di Melaka diuruskan secara profesional dan terus diperkasakan lagi.

Ketua Menteri berkata, perkara itu amat penting bagi memastikan tujuan dan objektif penubuhan institusi wakaf mencapai matlamat, namun pada masa yang sama dilaksanakan dengan mengikut syariat yang ditetapkan.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, institusi wakaf perlu terus dipelihara, sekali gus menjamin kesinambungan perkembangan syiar Islam di Negeri Melaka.

“Buktinya di Melaka setakat ini, sebahagian kos pembangunan bagi empat pembangunan masjid baharu dan tiga pembesaran tapak masjid sedia ada menggunakan dana hasil kutipan saham wakaf dan wakaf tunai diselaraskan melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Antaranya adalah Masjid Baharu Klebang, Masjid Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Baharu Bertam Ulu, Masjid Baharu Bukit Tembakau, Masjid Baharu Chabau, Masjid Baharu Belimbing Dalam dan tapak tambahan Masjid As-Solihin, Paya Rumput,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup sempena Sambutan Bulan Wakaf Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023M di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo; Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim serta Pegawai Tugas-Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat Melaka terus menyokong Kerajaan Negeri bagi menjayakan program wakaf tunai yang dikelolakan oleh MAIM.

“MAIM juga telah menyelaras dan menyediakan pelbagai kaedah bagi kemudahan orang ramai termasuk sistem potongan gaji bulanan atau pembayaran secara dalam talian menerusi aplikasi DuitNow serta portal Melakapay,” katanya.

Menurutnya, di Melaka keseluruhan tanah berwakaf di bawah kelolaan MAIM adalah sebanyak 822 lot dengan anggaran keluasan berjumlah 319.29 hektar (789 ekar).

Jelasnya, bagi daerah Alor Gajah terdapat 199 lot tanah dengan anggaran keluasan 88.62 hektar (219 ekar), daerah Jasin sebanyak 227 lot tanah dengan anggaran keluasan 91.86 hektar (227 ekar), manakala Melaka Tengah pula sebanyak 394 lot tanah dengan anggaran keluasan 154.58 hektar (328 ekar).

“Selain itu, terdapat dua lot tanah dengan anggaran keluasan 6.07 hektar (15 ekar) yang terletak di luar Negeri Melaka.

“Daripada sudut penggunaannya, sebanyak 485 lot tanah atau 59 peratus adalah wakaf am terdiri daripada premis kediaman dan perniagaan, klinik, hotel, rumah anak yatim, dewan, tanah pertanian, tanah kosong dan sebagainya.

“Manakala, baki 337 lot tanah (41 peratus) lagi adalah wakaf khas digunakan untuk tujuan pembangunan masjid, surau, tanah perkuburan, sekolah agama serta pendidikan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1074
Kongsi :
Previous post Kenal pasti harta wakaf berpotensi dimajukan – KM
Next post Angkara pasang muzik kuat, warga Myanmar dikelar rakan senegara
Ubah saiz-+=