Ketersediaan sumber biojisim buka jalan ekonomi kitaran hijau Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PUTRAJAYA, 15 Dis – Ketersediaan sumber biojisim yang banyak dan sektor bioteknologi yang agak matang untuk menjana biotenaga akan membuka jalan kepada hasrat Malaysia untuk menjadikan ekonomi kitaran hijaunya sebagai asas kepada pertumbuhan sosioekonomi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Berucap pada Asian Biohydrogen and Biorefinery Symposium and Sustainability Challenge (ABBS-SC 2021) ke-16 secara dalam talian hari ini, Dr Adham berkata pengeluaran hidrogen daripada sisa seperti air sisa dan biojisim sebagai alternatif untuk bahan api fosil, akan mendapat permintaan tinggi pada masa hadapan kerana banyak penggunaan hidrogen.

Beliau berkata pelbagai usaha telah dilakukan di universiti tempatan dan institut penyelidikan mengenai penyelidikan asas pengeluaran hidrogen daripada sisa, bukan sahaja daripada industri minyak sawit tetapi juga daripada industri pertanian lain.

“Malaysia perlu memberi tumpuan kepada teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui serta penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim. Ini kunci untuk Malaysia menjadi negara maju menjelang 2030,” katanya sambil menambah Malaysia boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan penggunaan biojisim yang efisien.

Menurut Dr Adham, dianggarkan Malaysia mengeluarkan 168 juta tan biojisim setahun termasuk sekam padi, kayu balak, minyak kelapa dan sisa sawit.

“Sumber mampan ini boleh ditukar kepada produk berasaskan bio baharu termasuk biotenaga, baja bio dan biobahan,” katanya dan menyeru pemain industri untuk beralih kepada bioproduk daripada sumber boleh diperbaharui untuk mengurangkan jejak karbon dan pelepasan.

Simposium berkenaan dianjurkan Pusat Penyelidikan Teknologi Proses Mampan (CESPRO) Universiti Kebangsaan Malaysia dan mengumpulkan pakar membincangkan isu dan cabaran berkaitan bioekonomi dan kemampanan kitaran Malaysia dan di seluruh dunia.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

837
Kongsi :
Previous post UiTM lonjak kedudukan ke-150 bagi penarafan UIGM World University Rankings 2021
Next post Cuepacs cadang kerajaan wujud pengkhususan khas jawatan warden
Ubah saiz-+=