Khatan percuma buat 15 kanak-kanak asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

LENDU 26 Dis. – “Walaupun kos berkhatan hanya RM120 seorang, ia amat besar nilainya bagi kami yang hidup dalam serba kekurangan. Terima kasih kepada Amal Care kerana sudi membiayai kos berkhatan dua anak saya,” kata Zuan Ismail, 31.

Pemandu lori terbabit adalah seorang daripada 15 asnaf yang dipilih untuk mengkhatankan anak masing-masing melalui sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amal Care di sebuah klinik swasta di pekan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Mereka yang berpendapatan rendah amat berbesar hati menerima sumbangan itu bagi membolehkan anak masing-masing berkhatan walaupun kos untuk menjalani proses itu hanya RM120 seorang.

Zuan berkata, dia amat bersyukur apabila Pengerusi Masjid al-Hansaniah, Kampung Kuala Sungai Baru, Nordin Abu Hassan memilihnya sebagai seorang daripada penerima sumbangan berkenaan.

Pada program itu, dua anaknya, Mohd Hakimi dan Mohd Haiqal, masing-masing berusia 10 dan enam tahun berkhatan bersama-sama 13 kanak-kanak lain yang hadir secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan dalam klinik, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19.

Turut hadir, wakil Amal Care, Mohd Nazreen Zulkifli, 33, dan Mohd Zulkhairi Hamidi, 36, serta Nordin.

Ibu tunggal, Noor Azizah Atan, 42, berkata dia amat bersyukur apabila anak bongsunya, Mohd Haziq Halid, 5, dipilih berkhatan secara percuma melalui pembiayaan Amal Care.

“Alhamdulillah sejak suami, Allahyarham Halid Haron meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya lima tahun lalu, saya sendiri membesarkan empat anak dengan bergantung rezeki sebagai pembantu di pusat asuhan dan pembelajaran agama kanak-kanak.

“Sumbangan itu serba sedikit meringankan beban kewangan saya untuk membiayai kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazreen berkata program itu bertujuan membantu meringankan beban asnaf untuk mengkhatankan anak masing-masing, selain memberi peluang untuk ahli
Amal Care berbuat kebajikan kepada asnaf.

“Kami harap sumbangan yang tidak seberapa ini mampu menceriakan asnaf dan memastikan anak mereka berkhatan pada musim cuti sekolah bagi memudahkan mereka
menjalani proses untuk sembuh,” katanya.

Nordin dalam pada itu berkata, Masjid al-Hasaniah sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi membantu golongan memerlukan, terutama asnaf.

habis.

Views:

1551
Kongsi :
Previous post Dinosaur Encounter bertaraf 10 bintang!
Next post COVID-19: Catat 2,335 kes baharu hari ini, yang tertinggi direkodkan – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=