Dinosaur Encounter bertaraf 10 bintang!

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 26 Dis. – “Kalau ada 10 bintang, saya akan bagi 10 bintang. Memang berpuas hati sangat!”

Demikian rekreasi seorang pengunjung berhubung tarikan terbaharu di Zoo Melaka, Dinosaur Encounter yang mula dibuka kepada orang ramai bermula semalam.

Fazuil Abdul Manan yang datang bersama dua keluarga dari Kajang, Selangor mengakui percutiannya bersama keluarga ke Negeri Melaka begitu berbaloi apabila dapat menyaksikan sendiri taman tema dinosaur yang terbesar di Asia Tenggara itu.

Jelasnya, keterujaan paling maksimum terpancar di wajah anak bongsunya yang begitu meminati dinosour apabila dapat melihat replika robotik haiwan pra sejarah itu dengan lebih dekat.

FAZUIL

“Dengan harga tiket RM38 bagi dewasa dan RM31 bagi kanak-kanak bagi saya memang cukup berbaloi. Bukan sahaja dapat bawa anak lihat dinosaur tetapi kami disajikan juga pertunjukan burung dan dapat melihat pelbagai haiwan yang ada dalam zoo ini.

“Tahniah kepada Zoo Melaka kerana dapat mempersembahkan sesuatu yang bagus untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Melaka. Saya dan keluarga sendiri menjadikan Melaka lokasi wajib untuk kami kunjungi setiap tahun,” katanya.

Bagi Zulhilmi Salleh, 32 dari Lumut, Perak, kepenatan memandu kira-kira lima jam dari ke Negeri Melaka begitu berbaloi apabila melihat sendiri kegembiraan anak-anaknya di Zoo Melaka.

ZULHILMI

“Saya memang niat nak bawa mereka berjalan-jalan lepas beberapa bulan duduk di rumah. Bila sampai sini memang anak-anaklah yang paling gembira. Bagi saya berbaloi sangat kedatangan kami ke sini,” katanya.

Nada sama turut dikongsikan seorang lagi pengunjung dari Kluang, Johor, M Privina, 26.

Dia berkata, keseronokan berada di Dinosaur Encounter bukan sahaja untuk kanak-kanak, bahkan orang dewasa sepertinya turut merasai keterujaan itu.

M PRIVINA

“Kita tak tahu ada Dinosaur Encounter dalam Zoo Melaka kerana pada awalnya saya dan keluarga hanya datang untuk lihat haiwan. Bila masuk memang saya terkejut kerana dinosaur ini juga boleh bergerak-gerak dan ada suara.

“Bukan kanak-kanak sahaja teruja, saya yang dewasa ini pun turut kagum. Memang saya akan beritahu kawan-kawan untuk datang ke Zoo Melaka ini,” ujarnya.

Sementara itu, bagi seorang pengunjung dari Puchong, Selangor, Meryl Nadia Esrail, dia mengharapkan pihak Zoo Melaka dapat melakukan beberapa lagi penambah baikan di dalam Dinosaur Encounter jika mahu menjadikan kawasan itu lebih menarik.

Jelasnya, antara penambah baikan yang perlu dilakukan ialah seperti maklumat mengenai setiap spesies dinosaur serta sistem bunyi yang perlu dipertingkatkan.

“Contohnya, macam T-Rex, saiznya besar, tapi bunyinya tidak begitu kuat untuk memberikan ketakutan. Jika ada bunyi yang lebih kuat, saya percaya ia akan jadi lebih menarik.

“Apa pun, saya gembira melihat pembaharuan yang ada ini dan InsyaAllah saya akan kembali lagi nanti untuk melihat penambahbaikan yang dilakukan termasuklah melawat Dinosaur Encounter pada waktu malam yang dikhabarkan bermula Januari akan dibuka dan dihiasi dengan pelbagai lampu yang menarik seperti filem Avatar,” katanya.

Views:

3513
Kongsi :
Previous post Bakal pengantin dikhuatiri lemas, kenduri tetap diteruskan
Next post Khatan percuma buat 15 kanak-kanak asnaf
Ubah saiz-+=