Sorting by

×

Kilang di Melaka perlu praktik teknologi baharu mesra alam

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

MERLIMAU 28 Oktober – Pembukaan kawasan industri baharu di negeri ini perlu membudayakan dan mempraktikkan penggunaan teknologi baharu berkonsepkan mesra alam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu perlu menjadi fokus utama dalam mengelakkan sebarang isu pencemaran, sekali gus memastikan kelestarian alam semulajadi terus terpelihara.

Katanya, dalam hasrat menuju ke arah Bandar Pintar atau Smart City, penggunaan teknologi terkini dan teknologi hijau menjadi antara perkara yang akan diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri.

“Penggunaan teknologi baharu seperti ‘Smart Bin’ yang menggunakan sensor Internet of Things (IoT) antara yang sedang kita bincangkan dalam memastikan pembuangan sisa domestik mahupun sisa komersial lebih efisien di negeri ini.

“Ini antara contoh yang sedang kita lihat dan kita harap semua pihak dapat memberi kerjasama untuk menjayakan inisiatif demi kelestarian alam sekitar di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka di Politeknik Merlimau Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka Rosli Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) Ismail Hasim dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Khairuladha Ab Mutalib.

Dalam pada itu, Rais dalam ucapannya turut menekankan terhadap penggunaan Teknologi Bersih atau ‘Cleaner Technology’ yang perlu dipraktikkan sektor perkilangan di negeri ini.

Jelas beliau, menerusi penerapan elemen Pengeluaran Bersih bagi setiap penghasilan produk, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

852
Kongsi :
Previous post Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat kes bunuh
Next post Karnival kerjaya bantu 8,000 pencari kerja
Ubah saiz-+=