Karnival kerjaya bantu 8,000 pencari kerja

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Oktober – Karnival Kerjaya 20 Universiti Awam membuka peluang kepada lebih 8,000 pencari kerja untuk mendapatkan tempat dalam industri.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof Dr. Azlinda Azman berkata, karnival selama dua hari sehingga esok turut memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk meningkatkan lagi kerjaya, sekali gus menimba lebih banyak pengalaman.

Katanya, program itu adalah platform yang baik untuk menghubungkan majikan dan pencari kerja bukan sahaja dari Melaka sebaliknya negeri lain.

“Saya percaya ramai pencari kerja akan mendapat tempat atau lulus temu duga peringkat pertama. Usaha ini bukan sahaja beri manfaat kepada graduan, malah membantu masyarakat setempat dalam memperoleh penempatan pekerjaan.

“Ini sekali gus menangani kadar kebolehpasaran graduan bukan sahaja daripada segi kuantiti tetapi kualiti mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Karnival Kerjaya 20 Universiti Awam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalruddin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Prof Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif merangkap Pengerusi Majlis Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MyGRAD) serta Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Abd Razak Omar.

Azlinda berharap MyGRAD terus merancakkan inisiatif strategik dalam melonjakkan lagi kebolehpasaran graduan.

“Terima kasih kepada MyGRAD kerana sentiasa fokus terhadap isu pengangguran, kerja dan kelayakan tidak sepadan serta gaji permulaan yang rendah di negara ini.

“Kita tidak boleh selesa kerana banyak perkara yang perlu dibuat dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti kebolehpasaran graduan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1189
Kongsi :
Previous post Kilang di Melaka perlu praktik teknologi baharu mesra alam
Next post Tiada unsur jenayah dikesan kes lelaki mati dalam tahanan – Bukit Aman
Ubah saiz-+=