Kilang elektronik dibuka hanya babitkan empat blok – KM

0
11987
KETUA Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali

AYER KEROH 5 Jun – Sebuah kilang elektronik di Batu Berendam yang sebelum ini diarah tutup seminggu kembali beroperasi hari ini selepas mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, berdasarkan laporan yang diterimanya, hanya empat blok kilang berkenaan sahaja dibenarkan beroperasi, berikutan pekerja di blok berkenaan telah menjalani ujian saringan COVID-19 sebanyak dua kali dan disahkan negatif.

Bagaimanapun, katanya kilang berkenaan boleh ditutup serta merta sekiranya didapati lebih lima peratus pekerja yang hadir disahkan positif COVID-19 menerusi ujian saringan RTK Antigen yang dijalankan setiap hari.

“Kilang berkenaan juga hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 30 peratus pekerja sahaja buat masa ini dan tidak boleh lebih daripada kapasiti yang ditetapkan.

“Mengikut laporan KKM, hanya blok 3, 4, 5 dan 6 di kilang berkenaan sahaja dibuka disebabkan pekerjanya sudah menjalani ujian saringan lebih dua kali dan disahkan negatif,” katanya ringkas ketika dihubungi Melaka Hari Ini malam ini.

Tambahnya, kesemua pekerja yang perlu hadir ke tempat kerja juga akan menjalani ujian saringan RTK Antigen COVID-19 setiap hari dan bayarannya akan ditanggung majikan.

“Buat masa ini, hanya 30 peratus pekerja sahaja dibenarkan bekerja di kilang berkenaan buat masa ini.

“Bagaimanapun, kilang berkenaan boleh ditutup serta merta sekiranya didapati lebih lima peratus pekerja yang hadir disahkan positif COVID-19 menerusi ujian saringan yang dijalankan,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial mengenai kilang berkenaan yang kembali beroperasi hari ini walaupun telah diarahkan tutup seminggu bermula 2 Jun sehingga 9 Jun ini.

Ia susulan kilang berkenaan telah merekodkan 299 kes positif COVID-19 di negeri ini menerusi Kluster Industri Batu Berendam.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.