Operasi pusat kuarantin hotel perlu mohon kebenaran operasi menerusi CIMS 3.0

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PUTRAJAYA 5 Jun – Semua hotel yang dijadikan pusat kuarantin kepada pekerja sektor perhidmatan perlu mengemukakan permohonan kebenaran operasi menerusi portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang semalam.

Jelas kenyataan itu, surat kebenaran operasi bagi penginapan hotel bagi tujuan kuarantin atau pengasingan pekerja dalam tempoh 6 hingga 14 Jun perlu membuat permohonan menerusi CIMS 3.0 yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Semua permohonan berkaitan sektor penghotelan bagi tujuan seperti dinyatakan itu akan diproses dan diluluskan oleh MOTAC menerusi platform terbabit.

“Setiap permohonan juga perlu kemukakan salinan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) terkini dan lesen perniagaan premis penginapan daripada PBT (pihak berkuasa tempatan) yang masih sah,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut menjelaskan surat kebenaran pergerakan yang dikeluarkan MOTAC sebelum ini hanya sah sebelum jam 12.00 malam ini.

“Mulai 6 Jun (Ahad), semua kebenaran bagi pergerakan pekerja perlu menggunakan surat kebenaran daripada MITI sahaja.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, pergerakan pekerja bagi sektor penghotelan hanya dibenarkan menggunakan surat CIMS 3.0 dan surat pengesahan lantikan daripada majikan atau pas pekerja.

“Justeru itu, semua pengendali hotel yang berkenaan perlu mendaftar semula dan boleh memuat turun surat kebenaran operasi menerusi pautan notification.miti.gov.my,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MOTAC sentiasa komited untuk membantu pengusaha sektor itu melancarkan proses operasi dan dalam pada sama perlu akur dengan keputusan kerajaan dalam mengutamakan keselamatan serta kesihatan rakyat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Kata kenyataan itu, untuk sebarang pertanyaan lanjut berhubung surat kebenaran itu, pemilik premis boleh mengemukakan emel menerusi [email protected] atau menghubungi nombor hotline kementerian di talian 03-8891 7189 atau menerusi aplikasi Whatsapp di nombor 019-220 9965.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

951
Kongsi :
Previous post Kilang elektronik dibuka hanya babitkan empat blok – KM
Next post ‘Tutup media sosial dan bekerja’ – TMJ
Ubah saiz-+=