Kisah klasik ‘dam aji’ Pantai Puteri

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

PANTAI KUNDOR 29 Mei – Meskipun hanya menggunakan potongan batang penyapu jerami sebagai buah ‘dam aji’ ia sudah cukup bagi sekumpulan warga emas di Pantai Puteri, bagi mengisi masa lapang mereka pada waktu petang.

Bukan sekadar permainan mengisi masa lapang, sebaliknya dam aji boleh dianggap sebagai ‘alat’ penyatuan yang mengumpulkan warga emas dari beberapa perkampungan sekitar destinasi tarikan pelancongan itu.

Photo1716883865
OMAR.

Bagi Omar Md Yunus, 77, mahu bermain dam aji di kampung tidak memerlukan kos tinggi atau set yang digunakan wajib mengikuti garis panduan tertentu seperti sesetengah sukan lain.

Jelasnya, cukup sekadar menggunakan papan terbuang yang dicat semula dan buah dam aji yang menggunakan pelbagai jenis bahan seperti batang penyapu jerami.

Menurutnya, permainan dam aji di Pantai Puteri merupakan antara budaya orang-orang lama di kawasan itu khusus dalam kalangan nelayan.

“Sejak zaman arwah datuk saya permainan dam aji sudah popular di kawasan ini, kemudian diteruskan arwah bapa dan sekarang saya bersama rakan seusia lain pula yang mewarisinya. Kalau macam dulu, dam aji ini adalah permainan buat kami sebagai nelayan yang dijadikan wadah pertemuan mengisi masa lapang.

“Saya mengikuti ayah ke laut sejak usia belasan tahun lagi. Kebiasaannya selepas subuh semua nelayan akan turun ke laut memukat ikan dan sementara menunggu hasil laut kami kembali ke darat, berkumpul dengan bermain dam aji,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut datuk kepada 18 orang cucu itu, kesemua masyarakat kampung bersatu padu disebabkan permainan itu meskipun berbeza fahaman politik dan keturunan.

“Macam-macam bangsa datang sini berkumpul untuk bermain dan kami menganggap kawasan ini umpama ‘stadium terbuka dam aji’ di Pantai Puteri. Kami akan bermain setiap hari pada waktu pagi, berhenti sekitar Zohor dan kemudian akan berkumpul semula selepas Asar.

“Ramai pengunjung yang datang ke sini pun teringin bermain bersama kami, sehingakan ada yang dari Pulau Pinang dan beberapa negeri lain sanggup datang sebab nak bermain bersama kami,” katanya.

Photo1716883661 (1)

PAPAN dan buah dam aji menggunakan bahan terbuang dan ringkas. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, permainan itu tidak sama seperti catur yang mengambil masa lama bagi setiap perlawanan.

“Kedua-dua permainan ini tidak sama, sebab dam aji ini falsafah dia kita kena atur strategi bersama lawan untuk mendapatkan peluang dan mata untuk menang dengan halangan serta cabaran umpama kita berusaha untuk mendapatkan ‘haji’.

“Kalau nak main dam aji pemain perlu bebaskan minda dan tumpuan mendalam diperlukan sebagai strategi untuk menang, ia dimainkan bukan nak tunjuk kepandaian.

“Meskipun kawasan ini tempat berkumpul, matlamat kami hanyalah untuk bermain bagi mendapatkan kawan dan bukannya berjudi, kalau sesiapa disyaki berjudi kami akan halau mereka pergi dari sini,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

83
Kongsi :
Previous post Pasangan kekasih abaikan bayi tukar pengakuan kepada tidak bersalah
Next post 7 kawasan gelap, kini sudah terang
Ubah saiz-+=