7 kawasan gelap, kini sudah terang

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PANTAI KUNDOR 29 Mei – Tujuh kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor yang sebelum ini gelap tanpa pencahayaan kini sudah diterangi lampu solar.

Pemasangan lampu solar itu dijalankan sekumpulan pensyarah dan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diketuai Penyelaras Unit Kemasyarakatan dan Kesukarelawanan, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM Ts. Dr. Mohamad Faizal Baharom.

Menariknya, Program Duta TVET UTeM Bersama Komuniti itu turut disertai tujuh pelajar dan seorang pensyarah dari Universitas Atma Jaya Yogyakarta, Indonesia sebagai sebahagian daripada program pertukaran pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu sebanyak lima kawasan yang dikenal pasti amat memerlukan pencahayaan telah dipasang lampu solar.

Menurutnya, ia membabitkan Kampung Tanah Merah, Kampung Paya Rumput, Kampung Gelam, Seri Tanjung dan sebuah tanah perkuburan di Tangga Batu Pekan.

Jelas beliau, walaupun hanya merangkumi sebahagian kecil kawasan, namun kemudahan yang diberikan itu membawa impak cukup besar kepada masyarakat setempat terutama dalam aspek keselamatan.

“Fokus pemasangan lampu solar ini adalah di kawasan yang amat memerlukan seperti tanah perkuburan, rumah ibadat, kawasan riadah dan jalan-jalan utama yang tidak mempunyai pencawang elektrik.

“Seperti contoh di tanah perkuburan Tangga Batu Pekan ini saya dimaklumkan terdapat kesukaran apabila ada jenazah yang terpaksa dikebumikan pada waktu malam memandangkan kawasan ini terlalu gelap.

“Selain itu, beberapa jalan kampung yang tiada lampu dan kerap berlaku kemalangan serta kes jenayah seperti ragut juga telah dipasang bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan kepada penduduk,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, pihaknya turut mengalu-alukan lebih ramai syarikat korporat tampil bagi membantu dalam usaha memperluaskan program berkenaan ke seluruh Negeri Melaka.

Ini kerana menurutnya, terdapat kira-kira 1,000 permohonan diterima daripada masyarakat yang memerlukan pemasangan lampu di kawasan mereka.

“Saya berharap impak program ini boleh dirasai oleh semua memandangkan inisiatif ini memberi manfaat cukup besar kepada komuniti.

“Justeru, saya mengalu-alukan kerjasama daripada badan-badan korporat untuk turut sama menyumbang supaya kita dapat memperluaskan lagi program seumpamanya di kawasan-kawasan lain yang juga memerlukan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

101
Kongsi :
Previous post Kisah klasik ‘dam aji’ Pantai Puteri
Next post Shaifulfazlee komited tambah baik fungsi, budaya kerja MAIM
Ubah saiz-+=