Kita boleh ‘menipu’ polis, tetapi bukan COVID-19 – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PUTRAJAYA 30 Mei – Surat kebenaran rentas daerah dan negeri bagi tujuan bekerja, pasangan jarak jauh dan kes kecemasan yang diguna pakai kini terbatal bermula 1 Jun ini dan orang ramai perlu mengemukakan dokumen baharu daripada kementerian berkaitan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, surat berkenaan ditamatkan berkuat kuasa esok dan sebarang kes kecemasan dan berkaitan bidang bekerja masing-masing yang memerlukan aktiviti rentas daerah dan negeri perlu mengemukakan permohonan baharu.

Katanya, hanya dua sumber sahaja yang berhak mengeluarkan surat kebenaran rentas negeri iaitu kementerian berkaitan tugas masing-masing dan PDRM.

ISMAIL SABRI.

“Jadi, tidak timbul isu berkaitan surat tersebut kerana ia (surat rentas daerah dan negeri) akan tamat pada 31 Mei dan kementerian (berkenaan) akan mengeluarkan surat berkaitan kerja.

“Bagaimanapun, orang ramai dibenarkan rentas daerah dan negeri melibatkan kes kecemasan seperti kematian dan kesihatan keluarga, nazak dan sebagainya, namun perkara itu boleh merujuk kepada PDRM,” katanya pada sidang media pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengelakkan sebarang isu timbul mengenai pergerakan rentas daerah dan negeri, orang ramai diminta untuk bersikap jujur terhadap permohonan masing-masing.

Jelasnya, ketidakjujuran orang ramai terhadap permohonan itu menimbulkan keraguan kepada PDRM yang terpaksa menolak permit permohonan sekiranya terdapat kes meragukan.

“Saya difahamkan banyak kes terpaksa ditolak oleh polis kerana ada kes diragukan. Bagaimanapun terdapat kes bagi mereka yang mahu melawat ibu bapa yang sakit teruk tetapi oleh kerana polis begitu berhati-hati, akhirnya timbul cerita ibu mereka meninggal dunia dan sebagainya, satu perkara yang malang dan dikesalkan.

“Jadi, polis terpaksa berhati-hati melepaskan mereka atas alasan kecemasan dan saya harap kita benar-benar jujur apabila membuat permohonan.

“Kita boleh menipu polis, tetapi kita tidak boleh menipu COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Menteri Kanan Kerja Raya (Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung surat kebenaran pergerakan pekerja esok katanya pada sidang media

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

509
Kongsi :
Previous post Sektor kesihatan boleh lumpuh jika tiada ‘lockdown’
Next post Hanya dua wakil isi rumah boleh keluar, tak lebih 10 km dari kediaman
Ubah saiz-+=