Sektor kesihatan boleh lumpuh jika tiada ‘lockdown’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PUTRAJAYA 30 Mei – Sektor kesihatan negara di ambang kelumpuhan berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19 di negara ini yang merekodkan lebih 7,000 kes secara berterusan sejak akhir-akhir ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, atas sebab itulah kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial fasa pertama yang dijadual bermula pada Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan kesihatan awam dan keselamatan rakyat yang kini diancam penularan COVID-19.

“Nyawa rakyat itu lebih penting memandangkan lebih 7,000 kes aktif dan varian baharu COVID-19 yang lebih ganas telah dikesan.

“Kapasiti katil hospital termasuk unit rawatan rapi (ICU) kini sudah mencapai tahap maksimum dan tidak mustahil sistem perkhidmatan kesihatan negara akan lumpuh dalam tempoh terdekat sekiranya ‘total lockdown’ tidak dilaksanakan.

“Kita juga memahami beban tugas petugas kesihatan termasuk ‘frontliner’ yang kini mengalami kepenatan melampau selepas lebih setahun berjuang menangani pandemik,” katanya dalam sidang media pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Justeru, beliau merayu semua rakyat memandang serius tempoh 14 hari ini dan bekerjasama dalam membantu kerajaan mengawal penularan daripada terus merebak demi menyelamatkan sistem kesihatan negara.

“Jika tiada keperluan, duduklah di rumah. COVID-19 bukan lagi mitos atau rekaan. Ambillah iktibar daripada mereka yang telah kehilangan insan tersayang.

“Perang ini adalah untuk semua rakyat Malaysia. Saya menyeru semua tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik memerangi bersama pandemik ini agar kita boleh menang sekali lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post Total lockdown: Kompleks beli-belah ditutup, pasar raya, kedai makan dibenarkan operasi
Next post Kita boleh ‘menipu’ polis, tetapi bukan COVID-19 – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=