Kita vaksinkan dulu anak kita – Dr Muhamad Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

MERLIMAU 10 Feb – “Sebelum kita minta ibu bapa vaksinkan anak mereka, kita vaksinkan dulu anak kita. Alhamdulillah Ziyad ok dan ceria selepas vaksin.

“InsyaAllah vaksin selamat untuk anak-anak kita. Kita Berusaha sehabis baik Allah menentukan,” itu hantaran EXCO Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh yang dikongsi di Facebooknya hari ini.

MUHAMMAD Ziyad bersama Dr Muhamad Akmal dan ibunya kelihatan ceria selepas selesai mengambil vaksin pada Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).

Terdahulu Dr Muhamad Akmal menyuntik sendiri anak sulungnya Muhammad Ziyad Muhamad Akmal,7, pada Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin Merlimau.

Beliau ditemani isteri Nadhirah Idrus tiba di Pusat Pemberian Vaksin itu pada jam 9 pagi, untuk melakukan pendaftaran serta mendengar taklimat diberikan pegawai perubatan bertugas.

Kira-kira jam 9.30 pagi Muhammad Ziyad selesai mengambil vaksin yang disuntik sendiri oleh beliau sambil ditemani isterinya.

Sementara itu tinjauan Melaka Hari Ini mendapati beberapa lagi kanak-kanak yang hadir untuk mengambil vaksin di lokasi sama kelihatan ceria.

Anak bongsu daripada dua beradik, Nur Syahindah Brohan, 11, kelihatan bersemangat untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 malah kerana teruja dia bangun seawal jam 6.30 pagi untuk bersiap.

“Masa jururawat cucuk pun tak rasa sakit. Kawan-kawan jom ambil vaksin tak sakit pun, jom kita cegah penularan COVID-19,” katanya.

Berkongsi pengalamannya Mohd Noor Haikal Mohd Noor Jaaman, 10, berkata, pada awalnya dia berasa takut dan gementar untuk menerima vaksin COVID-19.

“Tapi bapa bagi sokongan untuk ambil vaksin demi keselamatan diri. Masa cucuk tak rasa sakit pun, sekarang dah rasa lega bila dah selesai ambil vaksin,” katanya.

Manakala Eryna Zara Lukman,12, turut mengajak kanak-kanak lain supaya segera mengambil vaksin COVID-19.

“Harini ibu bawa saya pergi vaksin, saya tak rasa takut dan sakit pun masa ambil vaksin. Harap kawan-kawan yang lain pun datang ambil vaksin sebab saya pun ada vaksin sebagai perlindungan diri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

760
Kongsi :
Previous post Pusat tahfiz perlu ditadbir urus dengan baik, profesional – Tengku Hassanal
Next post Amaran hujan berterusan di Pahang, Johor – MetMalaysia
Ubah saiz-+=