KKM perlu 12 juta picagari LDV bagi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERKAM 6 Feb. – Sebanyak 12 juta picagari jenis ‘low dead-volume’ (LVD) diperlukan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membuat suntikan terhadap 20 peratus atau enam juta penerima pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula akhir bulan ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, picagari jenis itu amat diperlukan kerana vaksin perlu disuntik dalam dos tertentu kepada setiap individu bagi memastikan keberkesanannya.

“Picagari ini amat penting supaya kita tidak melakukan pembaziran kerana ada sejumlah dos yang perlu kita gunakan.

“Kerajaan perlu membeli bekalan picagari tersebut dalam jumlah yang lebih untuk kegunaan pada fasa kedua ketiga dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau pelaksanaan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 termasuk pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Picagari low dead-volume amnya merujuk kepada picagari sifar pembaziran, sekali gus memastikan penerima suntikan menerima keseluruhan dos vaksin yang diperlukannya.

Untuk rekod, Malaysia dijangka menerima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal sebelum bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.

Kerajaan juga sedang menyediakan lokasi penyimpanan vaksin dengan sempurna dengan memastikan kawasan berkenaan perlu dilengkapi dengan ruangan penyimpanan penyejuk beku suhu rendah (ULTF).

Kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan tiada gangguan bekalan elektrik berlaku kerana ia merencatkan kualiti vaksin yang perlu disimpan dalam keadaan suhu di bawah 70 darjah celsius.

Views:

358
Kongsi :
Previous post Penganjur Pasar Borong Batu Berendam, pengunjung patuh SOP
Next post Balai Polis Lubok China tidak ditutup
Ubah saiz-+=