KKM terima 93 permohonan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 – Khairy

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR 26 Nov – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima 93 permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 bagi kes kesan tindak balas vaksinasi (AEFI), setakat semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah itu, lapan permohonan diluluskan Jawatankuasa Induk KKM dan dalam proses pembayaran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melibatkan jumlah RM132,500.

“Sebanyak 78 permohonan masih dalam penilaian, daripada jumlah ini, 56 permohonan dalam penilaian Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK), manakala 22 permohonan dalam penilaian Jawatankuasa Teknikal Perubatan (JTP).

“Tujuh lagi permohonan telah ditolak kerana tidak dikategorikan sebagai AEFI serius,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara maya di Facebook KKM hari ini.

Menjelas lanjut, Khairy berkata bantuan berkenaan akan dipertimbangkan berdasarkan kriteria yang perlu dipenuhi antaranya AEFI yang berlaku dalam tempoh tiga bulan daripada menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Dikategorikan sebagai serius berdasarkan laporan penilaian oleh JFK dan laporan AEFI hendaklah dihantar kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) oleh anggota kesihatan yang merawat pesakit,” katanya.

Menurutnya, bagi nilai bantuan kepada individu yang terkesan AEFI ditentu berdasarkan perakuan JTP, dan diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19.

Khairy berkata nilai bantuan telah ditetapkan tidak melebihi RM50,000 jika berlaku kesan sampingan serius kepada penerima vaksin COVID-19 yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital, dan tidak melebihi RM500,000 sekiranya hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin COVID-19.

Mengenai polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat hospital KKM, beliau berkata hanya beberapa kategori pesakit boleh ditemani penjaga atau pelawat iaitu pesakit yang menghidap penyakit kritikal, memerlukan penjagaan palliatif, tenat, kurang upaya, warga emas, memerlukan bantuan komunikasi, kanak-kanak dan wanita dalam proses bersalin.

“Ini bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19 di hospital serta memutuskan rantaian jangkitan wabak secara berterusan. Ia penting bagi melindungi pesakit, pelawat dan petugas kesihatan daripada jangkitan COVID-19, serta memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berterusan,” katanya.

Khairy berkata mereka yang dibenarkan melawat dan menjaga pesakit mestilah antaranya lengkap vaksinasi COVID-19, tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 dan tidak disyaki menghidapi COVID-19.

Katanya, penjaga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu RT-PCR atau RTK Antigen dalam 72 jam sebelum masuk ke hospital dan disahkan negatif.

“Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu di mana risiko penularan COVID-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak COVID-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi yang sedia ada bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua pihak,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

768
Kongsi :
Previous post KKM pergiat penguatkuasaan premis tidak semak status vaksinasi pelanggan
Next post Hang Jebat ‘bergelap’
Ubah saiz-+=