Kluster baharu di Melaka babitkan pekerja kilang di Batu Berendam

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 12 Feb. – Satu lagi kluster baharu di Melaka membabitkan kluster tempat kerja di mukim Batu Berendam direkodkan hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kluster yang dikenali sebagai Kluster Teknologi Berendam itu merekodkan keseluruhan 41 kes setakat hari ini, termasuk tiga kes di Negeri Sembilan, Selangor dan Johor.

Sehingga kini, seramai 1,238 individu yang juga kontak rapat kes berkenaan telah disaring dengan 41 dikesan positif, 950 negatif dan 247 masih menunggu keputusan.

“Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Melaka Tengah, Jasin, dan Alor Gajah di Melaka; Tampin di Negeri Sembilan; Sepang di Selangor serta Tangkak di Johor.

“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada hari ini hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang yang terletak di Zon Perdagangan Bebas, Batu Berendam, Melaka Tengah,” kata kenyataan itu.

MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto internet

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman memaklumkan terdapat satu lagi kematian direkodkan di negeri ini sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan meningkat kepada 17.

Menurutnya, kes kematian tersebut membabitkan warga emas berusia 84 tahun dari mukim Telok Mas yang merupakan kontak rapat kepada kes positif dari Kluster Industri Serkam.

“Sebanyak 45 kes baharu direkodkan hari ini membabitkan 30 warga tempatan dan 15 kes banduan, orang kena tuduh (OKT) dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Terdapat 79 kes sembuh di negeri ini, manakala seramai 1,019 pesakit lagi masih dirawat dengan 11 daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Views:

689
Kongsi :
Previous post Hamidin, Mohd Yusoff menang tanpa bertanding
Next post Pemandu lori disyaki dera anak tiri berusia empat tahun hingga mati
Ubah saiz-+=