Kluster Rambai: Pengasuh punca jangkitan COVID-19 di pusat asuhan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 31 Dis. – Pengasuh di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Bukit Rambai yang mengunjungi negeri zon merah di Selangor menjadi punca kewujudan Kluster Rambai yang menyebabkan 12 individu dijangkiti COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, jangkitan itu bukan sahaja melibatkan pengasuh dan keluarganya, bahkan turut menjangkiti kanak-kanak diasuh di tadika berkenaan termasuklah seorang bayi.

Beliau berkata, kes itu mula dikesan Isnin lalu (28 Disember) sebelum Kluster Rambai diumumkan sehari kemudian ekoran berlaku peningkatan kes jangkitan di kawasan berkenaan.

“Difahamkan pengasuh berkunjung ke kawasan zon merah di Selangor dan pulang ke Melaka sebelum menjangkiti anak-anak asuhan di tadika.

“Buat masa ini keadaan masih terkawal dan kita juga telah mengarahkan tadika itu ditutup untuk tujuan pembersihan dan proses disinfeksi.

“Kesemua yang positif kini sudah diasingkan dan sedang dirawat di Hospital Melaka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir mengadakan lawatan dan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Zoo Melaka, hari ini.

Dalam pada itu Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka (Kesihatan Awam) Dr. Rusdi Abdul Rahman memaklumkan, sehingga kini terdapat seramai 101 individu berkait rapat dengan Kluster Rambai telah disaring.

Daripada jumlah itu, seramai 12 individu positif, 87 negatif manakala tiga masih menunggu keputusan.

Bagaimanapun, jelasnya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan terus memantau perkembangan kluster berkenaan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan daripada berlakunya penularan dalam kalangan keluarga anak-anak yang diasuh di tadika terbabit.

Views:

422
Kongsi :
Previous post Melaka nafi arahkan pengunjung zoo buat saringan COVID-19
Next post Ambang 2021: Polis Langkawi tidak benarkan aktiviti pantai
Ubah saiz-+=