Melaka nafi arahkan pengunjung zoo buat saringan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 31 Dis. – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tidak pernah mengeluarkan arahan kepada mana-mana pengunjung Zoo Melaka untuk membuat saringan COVID-19 seperti yang ditularkan, baru-baru ini.

Tegas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman, maklumat yang ditularkan itu merupakan berita palsu yang sengaja direka bagi tujuan menakut-nakutkan orang ramai.

Jelasnya, sehingga kini tiada sebarang kes direkodkan berkait rapat dengan Zoo Melaka seperti didakwa.

“Kita memang nafikan kerana memang tiada kes di Zoo Melaka. Sebenarnya kes COVID-19 yang berlaku di Melaka ialah bila ada orang luar datang ke Melaka, berjumpa sanak-saudara, berpelukan, bersalaman dan tidak mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang digariskan.

“Kes juga berlaku apabila ada orang Melaka yang pergi ke kawasan zon merah tanpa menitikberatkan SOP dan balik ke Melaka, berjangkit pula dengan orang di sini. Ini trending yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan pemantauan SOP di Zoo Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman; Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka (Kesihatan Awam) Dr. Rusdi Bin Abdul Rahman dan Pengarah Zoo Melaka Zanariah Khamis.

Mengulas mengenai tinjauan dan pemantauan yang dijalankan itu, Rahmad mengakui pihaknya berpuas hati dengan segala persiapan dan SOP yang disediakan pihak zoo.

Ujarnya, isu yang tular baru-baru ini sehingga menerima teguran Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah disebabkan posisi gambar yang diambil dari sudut sisi sehingga menunjukkan seolah-olah tiada penjarakan fizikal di antara pengunjung.

Sebaliknya, ketidak patuhan itu tidak seperti yang dicanangkan memandangkan pihak zoo sudah menyediakan pelekat penjarakan fizikal satu meter di antara setiap keluarga.

Beliau bagaimanapun meminta pihak zoo menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka dan sentiasa memastikan aspek SOP terus dikawal ketat untuk mengelakkan berlakunya penularan di kawasan tumpuan itu.

“Saya juga ingin mencadangkan pihak zoo untuk membuat pengumuman bergerak menggunakan pembesar suara secara berkala supaya orang ramai lebih peka sepanjang berada di dalam zoo berkenaan.

“Kita juga akan menggerakkan pegawai kesihatan untuk sentiasa membuat pemantauan bagi mengelakkan berlakunya pelanggaran SOP bukan sahaja di zoo tetapi juga di kawasan-kawasan tumpuan yang lain di negeri ini,” katanya lagi.

Views:

1009
Kongsi :
Previous post LHDNM tiada akaun TikTok
Next post Kluster Rambai: Pengasuh punca jangkitan COVID-19 di pusat asuhan
Ubah saiz-+=