Kluster Umboo: Tahanan, petugas depoh tahanan dikesan positif COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 22 Okt. – Melaka merekodkan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Umboo yang dikesan di Depoh Tahanan Imigresen di Alor Gajah.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes indeks kluster berkenaan telah dikesan positif menerusi saringan pada 18 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Melaka.

Saringan kontak rapat telah mengesan tiga lagi kes positif COVID-19, termasuklah satu kes baharu yang dicatatkan hari ini.

“Sehingga 22 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 373 individu telah disaring, di mana empat kes dikesan positif, 218 individu negatif dan 151 lagi masih menunggu keputusan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Datuk Rahmad Mariman yang dihubungi Melaka Hari Ini berkata kes itu bukan sahaja melibatkan tahanan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, bahkan turut melibatkan petugas.

“Kluster Umboo adalah kes tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan petugas di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo. Seramai 373 telah disaring dan separuh daripadanya masih menunggu keputusan,” katanya.

Menurutnya lagi, selain kes di Machap Umboo, Melaka merekodkan dua lagi kes baharu iaitu di mukim Paya Rumput dan Chohong.

“Kes positif di Paya Rumput membabitkan individu berusia 48 tahun yang dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan yang dikesan menerusi saringan kesihatan bergejala di hospital swasta.

“Manakala kes di Chohong merupakan saringan kontak rapat kes positif dari Kluster Bukit melibatkan individu berusia 59 tahun,” katanya lagi.

Views:

506
Kongsi :
Previous post COVID-19: Tiga kes baharu termasuk Kluster Umboo di Melaka
Next post Fasiliti lain tampung jumlah pesakit COVID-19
Ubah saiz-+=