Fasiliti lain tampung jumlah pesakit COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

REMBIA 22 Okt. – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) diminta mencari fasiliti lain bagi menampung pesakit COVID-19 di negeri ini, sekiranya jumlah mereka yang jangkiti meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Khas COVID-19 (JKC-19) negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat JKC-19 semalam, bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku membabitkan peningkatan jumlah pesakit yang disahkan positif wabak berkenaan.

Beliau berkata, penyediaan fasiliti lain itu terpulang kepada JKNM sama ada mencari bangunan lain yang boleh dijadikan sebagai pusat rawatan.

“Kita sudah putuskan semalam (21 Oktober), pejabat kesihatan perlu mencari fasiliti lain, sekiranya COVID-19 ‘menyerang’ Melaka, maka hospital (Hospital Melaka) akan penuh digunakan untuk merawat pesakit, jadi dengan adanya fasiliti lain, maka kita sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika kes terlampau banyak.

“Sekarang ini ujian calitan (swab test) sedang dilakukan ke atas pendatang tanpa izin (PATI) di Machap Umboo, kalau ramai di sana misalnya kebanyakan mereka (didapati) positif sudah pasti akan dihantar ke hospital dan mungkin tidak mampu untuk menampung jumlah yang ramai jadi kita perlu ada fasiliti lain,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga turut meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengenal pasti hotel yang sesuai untuk dijadikan pusat kuarantin khas anak kapal ‘sign off’ (tamat kerja).

“Bagi anak kapal yang ‘sign off’ atau datang untuk berlabuh tidak dibenarkan duduk merata- rata sebaliknya mereka perlu menjalani proses kuarantin di satu hotel khas.

“Perkara ini kita serahkan kepada Jabatan Imigresen untuk aturkan dan kos penginapan itu akan akan ditanggung oleh pihak syarikat atau anak kapal itu sendiri,” katanya.

Abdul Ghafaar berkata, pihaknya turut mencadangkan agar setiap daerah dibuka pusat kuarantin berskala kecil bagi menempatkan kontak rapat kepada pesakit COVID-19 untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Views:

831
Kongsi :
Previous post Kluster Umboo: Tahanan, petugas depoh tahanan dikesan positif COVID-19
Next post Jabatan Meteorologi keluarkan nasihat Taufan Saudel
Ubah saiz-+=