KM arah kerja pembaikan ban pecah dijalan secepat mungkin

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER LIMAU 1 Jan – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengarahkan kerja-kerja pembaikan ban pecah di sungai-sungai sekitar Lubok China dilakukan secepat mungkin.

Beliau berkata, kerja-kerja membaik pulih itu kini sedang bermula, namun sedikit terganggu apabila paras air meningkat dan berulangnya banjir di kampung berhampiran.

Namun, sekiranya paras air sungai turun dan kerja-kerja baik pulih boleh dijalankan, beliau meminta kerja-kerja itu disambung dengan tenaga kerja maksima.

“Kalau sebelum ini kata ambil masa dua bulan, saya sudah cakap dengan Pengarah JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) supaya cuba selesaikan dalam tempoh sebulan.

“Kalau perju kerja 24 jam, kita kerja 24 jam dan kalau perlu tambah ‘man power’ dan mesin kita tambahkan supaya kerja pembaikan dapat disingkatkan.

“Ia sangat penting kerana apa yang berlaku di Telok Berembang dan Pengkalan Pauh adalah disebabkan ban yang pecah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di SMK Lubok China, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts Kamel Mohamad, Exco Kerajaan Tempatan Datuk Zaidi Attan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan lain-lain kenamaan.

SULAIAMAN melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China, hari ini.

Sulaiman berkata, setakat ini, seramai lapan keluarga terdiri daripada 29 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekolah berkenaan.

Manakala di seluruh Melaka ia melibatkan hampir 400 mangsa setakat tengah hari tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1086
Kongsi :
Previous post Banjir: Melaka lebih bersedia gelombang kedua- KM
Next post Amaran hujan berterusan peringkat jingga, kuning di kebanyakan negeri
Ubah saiz-+=