Kolaborasi 29 rakan industri mantapkan PMM

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

MERLIMAU 8 September – Jaringan kerjasama dengan 29 rakan industri memberikan kelebihan kepada Politeknik Merlimau (PMM) dalam usaha melahirkan sumber tenaga kerja mahir dan berpengetahuan.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri PMM, Datuk Ir Othman Abdul Halim berkata, kerjasama itu turut memperkasakan program pengajian, warga institusi dan komuniti setempat.

“Sebanyak 29 dokumen kolaborasi dimeterai hari ini akan mendorong aktiviti usaha sama yang berterusan dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Menerusi jalinan kerjasama ini, kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga dapat ditingkatkan.

“Kerjasama ini juga membolehkan kami mencapai lima teras dalam Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti iaitu memperkukuh kolaborasi industri, komuniti serta alumni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pertukaran Dokumen ‘Certificate of Collaboration’ (CoC) Politeknik Merlimau Tahun 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah PMM, Norizam Sekak; Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti (BKIK) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Yusma Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Datuk Wira Dr Abu Bakar Md Diah.

“Suasana ekonomi global ketika ini amat mencabar, persaingan sengit dalam sektor pekerjaan mendesak pensyarah supaya sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sedia ada.

“Semua ini bagi memastikan ilmu dan kemahiran dimiliki pensyarah adalah yang terkini selari dengan amalan dilaksanakan pihak industri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2279
Kongsi :
Previous post Polis & isteri didakwa eksploitasi amah sehingga cedera parah
Next post Program Perantisiswa terima 65,898 permohonan dalam tempoh sebulan
Ubah saiz-+=