Kompaun sekolah jika abai SOP, cetus kluster baharu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER MOLEK 22 April. – Kerajaan negeri bersedia mengenakan kompaun kepada sekolah yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) hingga menjadi punca kepada kluster baharu COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan sama juga akan dikenakan kepada mana-mana premis kerajaan, swasta terutama kilang dan individu yang menjadi punca tercetusnya kes baharu di negeri ini.

Katanya, tindakan diambil bukan bersifat berat sebelah kerana peraturan itu termaktub dalam Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Peraturan ini tidak terhad kepada institusi pendidikan sahaja, malah termaktub kepada mana-mana premis dan individu yang mengabaikannya termasuklah sektor perkilangan.

“Apa yang membimbangkan kebelakangan ini kes Import B yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri semakin meningkat hingga berlaku jangkitan generasi kedua dalam kalangan ahli keluarga lain.

“Contohnya Kluster Pengkalan Batik hingga mencetus penyebaran yang agak serius dan membentuk kluster baharu di Alor Gajah,” katanya pada sidang media di Kompleks Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Mengenai penutupan sementara Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zain (KVDSMZ) Alor Gajah, Rahmad tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di kawasan itu bagi membendung penularan pandemik itu.

“Bagaimanapun terdapat kesukaran bagi melaksanakannya disebabkan ada sesetengah pelajar saja tinggal di asrama dan yang lainnya menetap di kawasan sekitar.

“Perkara ini (PKPD) memerlukan penilaian lanjut bagi memastikan ia benar-benar boleh dikuatkuasakan ataupun tidak,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan kepada pengurusan sekolah berasrama agar mengasingkan dahulu pelajar dari zon merah selama tujuh hingga 14 hari dan dibenarkan memasuki sekolah sekiranya tidak bergejala.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

445
Kongsi :
Previous post TLDM gerak MV Mega Bakti bantu cari kapal selam TNI
Next post 20 NGO serah memorandum bantah iklan judi raya kepada Zahidi
Ubah saiz-+=