Kompleks Falak Al-Khawarizmi kongsi kepakaran ilmu astronomi

Masa Membaca:59 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Jun – Jabatan Mufti Negeri Melaka sedia menjalin kerjasama dengan Institut Agama Islam Tafaqquh Fiddin (IAITF) Kota Dumai, Riau, Indonesia dalam ilmu dan kepakaran berkaitan astronomi.

Kesediaan itu dizahirkan selepas IAITF menerusi Ketua Yayasannya, Dr HM Rizal Akbar menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam bidang berkenaan memandangkan kawasan mereka kekurangan fasiliti berkaitan cerapan dan ilmu falak.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawal berkata, kepakaran itu boleh dikongsi menerusi Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang dibangunkan pada tahun 2002 demi memartabat ilmu falak dalam bidang pendidikan dan pelancongan.

“Sebagai negeri yang mempunyai kemudahan balai cerap tercanggih, kita berbesar hati berkongsi ilmu dan kepakaran menerusi pelbagai kursus, antaranya pencerapan anak bulan.

“Selain itu, Kompleks Falak Al-Khawarizmi turut merangka pelbagai modul termasuk penentuan arah kiblat yang boleh dikembangkan kepada pelajar institusi agama itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima lawatan akademik IAITF ke Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang diatur Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Melaka, pada Rabu.

Pada lawatan itu, delegasi turut diberi kefahaman mengenai ilmu berkaitan astronomi, mengenali proses pencerapan hilal yang dilaksanakan di Malaysia serta memberi pendedahan kepada teknologi-teknologi terkini dalam bidang astronomi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1167
Kongsi :
Previous post Cef Filipina pilih cencalok
Next post Hidangan Melaka pikat selera delegasi ASEAN
Ubah saiz-+=