Kondominium dijadikan penginapan Airbnb wajib ada lesen

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 15 Disember – Setiap bangunan bertingkat seperti kondominium dan apartmen yang dijadikan penginapan Airbnb wajib mempunyai lesen dan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata, ia penting bagi memastikan setiap aspek keselamatan penghuni bagi tujuan penginapan dipatuhi oleh pengusaha.

Menurutnya, amaran dan tindakan keras boleh diambil sekiranya didapati ada pengusaha penginapan sementara Airbnb ini tidak mempunyai lesen demi mengaut keuntungan.

“Perlu faham bahawa di bawah Rancangan Tempatan oleh setiap PBT, apa jua aktiviti yang dijalankan sama ada di darat atau di laut, selagi ia masuk di bawah Rancangan Tempatan tersebut ia boleh dikenakan lesen seperti ditetapkan.

“Kita boleh kenakan tindakan di bawah Akta Strata dan banyak lagi akta lain boleh dikenakan bagi apa sahaja aktiviti atau perniagaan yang dijalankan di bawah pentadbiran PBT.

“Ini termasuklah kompaun boleh diambil bagi pemilik atau pengusaha yang ingkar dengan arahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) 2022 Bersempena Sambutan Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya ke-13 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman.

Pada majlis itu, pelbagai agensi agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai latar belakang dalam kawasan Hang Tuah Jaya menerima penghargaan daripada MPHTJ.

Turut dihargai jasa dan keringat agensi media cetak dan elektronik di Negeri Melaka, termasuk Melaka Hari Ini dan Melaka TV selaku media rasmi Kerajaan Negeri.

Plague dan sijil penghargaan kepada semua yang terlibat pada majlis itu disampaikan oleh Zaidi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2894
Kongsi :
Previous post Wujudkan akta khusus Airbnb, jaminan buat pelancong
Next post PM Anwar harap perwakilan diplomatik bawa pendekatan lebih segar tarik pelaburan asing
Ubah saiz-+=