Wujudkan akta khusus Airbnb, jaminan buat pelancong

SERI NEGERI 15 Disember – Akta khusus bagi pengendalian perkhidmatan Airbnb perlu diwujudkan bagi memastikan keselamatan pelancong di kawasan penginapan terjamin.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata kerajaan sukar  memantau perkhidmatan tersebut akibat tiada akta atau undang-undang kecil berkaitan.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyelaras akta dan wujudkan undang-undang yang boleh digubal serta diguna pakai bukan sahaja di Melaka namun berkuatkuasa di seluruh negara.

“Ketika ini terdapat syarikat-syarikat tertentu yang mempunyai ratusan malah ada yang ribuan unit premis yang beroperasi sebagai sebuah penginapan secara dalam talian dan ia tidak bersesuaian tanpa jaminan keselamatan diri dan harta benda pelancong.

“Pada 20 dan 21 Disember ini, kita akan adakan bengkel di peringkat Negeri Melaka bertujuan untuk menyatakan hasrat dan cadangan untuk mengawal Airbnb ini agar ia dikawal oleh peraturan atau undang-undang kecil yang boleh digubal untuk menambah baik ‘rules’ di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata sebagai sebuah negeri pelancongan, pendaftaran premis untuk dijadikan tempat penginapan adalah penting memandangkan kerajaan tidak boleh mengambil sebarang tindakan sekiranya timbul isu dihadapi pelanggan Airbnb.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

956
Previous post Siling runtuh: Parkir kereta di padang Dataran Pahlawan diarah tutup
Next post Kondominium dijadikan penginapan Airbnb wajib ada lesen