Kongsi nikmat Ramadan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Mac – Kesedaran umat Islam berhubung tanggungjawab sebagai pembayar zakat dan fidyah semakin meningkat membolehkan Kerajaan Negeri mengagihkan lebih banyak bantuan kepada fakir miskin, asnaf, mualaf serta golongan yang kurang berkemampuan seluruh Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah kutipan zakat Negeri Melaka bagi 2023 adalah sebanyak RM128.3 juta atau meningkat sebanyak RM10 juta berbanding 118.3 juta tahun sebelumnya.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, susulan daripada kenaikan kos keperluan harian melanda seluruh dunia ketika ini, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersetuju menyalurkan Bantuan Persediaan Ramadan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Katanya secara keseluruhan, pada tahun 2024, Melaka merekodkan seramai 10,420 orang layak sebagai penerima Bantuan Persediaan Ramadan terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Jelas beliau, 220 adalah dalam kalangan fakir, 8,200 orang miskin dan 2,000 mualaf MAIM menjadikan jumlah keseluruhan Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan Zakat Fitrah serta Pengagihan Fidyah sebanyak RM6,551,000.00.

“Penerima kategori asnaf fakir menerima RM400 bagi setiap ketua isi rumah dan isi rumah fakir menerima tambahan RM100 ringgit bagi setiap seorang. Kategori asnaf miskin pula menerima sebanyak RM250 setiap ketua isi rumah dan isi rumah miskin akan menerima tambahan RM100 ringgit bagi setiap seorang.

“Sementara itu, bagi penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara adalah seramai 277 orang yang mana terdiri daripada tiga orang asnaf fakir dan 274 orang penerima bagi asnaf miskin,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan (Asnaf) MAIM dan Program ‘Back To School’ DUN Tanjung Bidara di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan Pegawai Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Pada Majlis sama Ketua Menteri turut mengadihkan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 180 murid dan pelajar sekitar DUN Tanjung Bidara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post Bazar Ramadan Mega Melaka 2024 lebih meriah
Next post Cakna pencapaian akademik anak Melaka
Ubah saiz-+=